Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Inovasi plastik daripada rumpai laut

    LONDON – Firma baharu British yang ditubuhkan oleh dua bekas pelajar dari Perancis dan Sepanyol, mencipta pembungkusan terbiodegradasikan daripada tumbuhan laut, bercita-cita meraih pengiktirafann diraja pada minggu ini apabila Putera William melancarkan hadiah Earthshot terbaharu.

    Notpla – dengan mantera ‘kami menghapus pembungkusan’ – sedang bersaing dengan 14 firma lain untuk anugerah berprestij itu, yang akan disampaikan oleh putera pada majlis yang gilang-gemilang di bandar Amerika Syarikat (AS), Boston pada Jumaat ini.

    Dalam tahun kedua, inisiatif untuk mengiktiraf usaha inovatif dalam memerangi perubahan iklim itu seterusnya akan disiarkan di televisyen UK dan US masing-masing pada Ahad dan Isnin, serta dalam talian.

    Lima pemenang masing-masing akan menerima geran berjumlah £1 juta (AS$1.2 juta).

    Pengasas bersama Notpla, yang menghasilkan pelbagai bungkusan daripada rumpai laut dan tumbuhan laut lain dan bukannya menggunakan plastik yang merosakkan alam sekitar, berkata mereka telah pun merasa faedah pertandingan tersebut.

    Gelembung boleh dimakan bergelar ‘Ooho’ kelihatan di kilang pengeluaran Notpla di Hackney, timur London. – AFP
    Larutan membran mengandungi ekstrak rumpai laut dituang ke permukaan oleh ahli kimia di Notpla. – AFP
    Larutan membran terbiodegradasikan yang mengandungi ekstrak rumpai laut yang menghasilkan gelembung boleh dimakan ‘Ooho’ dipamerkan pakar kimia di Notpla di Hackney. – AFP

    Paslier bergambar di firma Notpla. – AFP
    Susunan gambar menunjukkan pasta, mi dan paket bungkusan makanan dengan ‘Lapisan Notpla’ di Notpla, Hackney. – AFP

    “Hanya mengambil bahagian sudah memberikan dorongan besar kepada wawasan kami,” beritahu pengasas Perancis, Pierre Paslier, 35, kepada AFP.

    “Terpilih sebagai sebahagian daripada peserta akhir sudah pun menjadi aset besar dan saya fikir jika kami menang, ia akan menjadi satu usaha pada skala yang jauh lebih besar.”

    Bersama bekas rakan pelajar Kolej Seni Diraja dan pengasas, Rodrigo Garcia Gonzalez, 38, pasangan itu memulakan perjalanan perniagaan ekologi mereka di dapur kecil di London.

    Mereka bertekad mencari alternatif semula jadi kepada pembungkusan petrokimia, mencuba pelbagai jenis bahan daripada benih ubi kayu kepada kanji lain.

    “Akhirnya, kami menemui rumpai laut,” jelas Paslier, bekas jurutera pembungkusan syarikat gergasi kosmetik Perancis, L’Oreal yang menghasilkan Notpla bersama Gonzalez pada 2014.

    “Sekarang kami mempunyai selaput fleksibel, kami menghasilkan kertas rumpai laut, kami mempunyai bahan tegar. Maka ia benar-benar satu permulaan teknologi berasaskan keluarga rumpai laut yang kami harapkan dapat membantu kami berhenti menggunakan plastik.”

    Beliau berkata pencapaian mereka yang mengagumkan akhirnya telah membawa kepada hasil ciptaan ‘Ooho’ yang dirumus secara rahsia.

    Sejenis membran gelembung yang boleh dimakan dibuat daripada rumpai laut – berisi air, minuman sukan atau minuman perisa lain termasuk koktel dan sos – dipasarkan sebagai pengganti untuk cawan plastik kegunaan sekali, botol dan paket.

    Rasa seperti gula-gula gelatin, ia boleh dimakan begitu sahaja – seperti tomato ceri – atau dari paket yang lebih besar, menjadikannya ideal untuk acara dan festival sukan.

    Ia telah digunakan secara meluas pada acara maraton di seluruh UK, termasuk larian London pada 2019.

    Minat yang tular dalam talian telah membantu menarik tumpuan pelabur, dengan Notpla berkembang pesat dan mempunyai lebih daripada 60 pekerja dan mendapati dirinya hampir mengeluarkan produknya pada skala industri.

    Pengeluaran ‘Ooho’ diadakan di pejabat firma dalam sebuah gudang besar, tidak jauh dari Taman Olimpik Ratu Elizabeth di timur London.

    Kumpulan pekerja muda Notpla yang semakin berkembang juga mempunyai makmal di sana tatkala ia membangunkan produk berasaskan alga baharu.

    Antara kejayaan terbaharu yang dicapai adalah lapisan terbiodegradasikan semula jadi yang melindungi bekas makanan daripada minyak dan air.

    Syarikat itu kini membekal produk kepada firma industri Just Eat di Britain dan lima negara Eropah lain.

    Ia juga menyediakan pembungkusan untuk semua makanan yang dijual semasa kejohanan final bola sepak Eropah wanita di Stadium Wembley, London pada Julai.

    Satu lagi inovasi baharu syarikat adalah bungkusan lut sinar untuk produk kering, seperti pasta.

    Paslier berkata walaupun produknya mungkin berharga lebih mahal berbanding alternatif bahan plastik, harga jualan plastik gagal menjelaskan ‘kesan ke atas ekosistem masyarakat, kesihatan untuk manusia atau kehidupan laut.’

    “Ia pada asasnya akan dibayar oleh generasi akan datang dan ia tidak mengambil kira harga plastik yang awda beli di pasar hari ini,” tambah beliau.

    “Oleh itu, apa yang kami usahakan akan menjadi penyelesaian pembungkusan paling mampu, mampan yang mengambil kira kos seumur hidup.”

    Paslier percaya rumpai laut boleh menjadi pilihan pembungkusan paling mampu, sebahagian besarnya disebabkan kadar pertumbuhannya yang pesat yang boleh mencecah satu meter sehari dalam makmal.

    “Ia adalah sumber yang boleh diperbaharui,” tambahnya, mendapati ia juga tidak memerlukan sebarang air baharu atau baja.

    Penemuannya tidak diragui amat bertepatan pada masanya.

    Satu laporan OECD baru-baru ini mendapati, pada kadar sekarang, bahan buangan plastik di seluruh dunia akan meningkat tiga kali ganda menjelang tahun 2060 kepada satu bilion tan setahun, kebanyakannya akan mencemari lautan dan mengancam banyak spesies. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...