Inovasi seni rekaan arca daripada tin makanan

VANCOUVER – Berusaha mengimbangi tubuh badan di atas tangga, dua orang sukarelawan kelihatan cukup bersemangat meletakkan tin kacang di atas arca berketinggian 8 kaki tinggi yang diperbuat daripada tin makanan di sebuah pusat membeli-belah di Kanada.

Arca pokok itu diletakkan bersebelahan dengan sarang lebah berwarna hitam dan kuning yang diperbuat daripada tin tuna dan kacang bersempena dengan acara tahunan dikenali sebagai ‘Canstruction’ di sebuah pusat membeli-belah di timur Vancouver.

Acara ini diadakan dengan tujuan untuk mengumpulkan dana dan makanan bagi Persatuan Greater Vancouver Food Bank di mana ia merupakan sebahagian daripada kerja amal antarabangsa yang bertanggungjawab dalam meningkatkan jumlah pengumpulan makanan dan kewangan bagi bank makanan di lebih daripada 160 bandaraya di seluruh dunia.

Dalam pertandingan itu, pasukan arkitek, jurutera, pereka dan pelajar telah berkumpul untuk membina struktur yang dicipta daripada tin produk makanan dan bahan yang tidak mudah rosak. Lebih 1.3 juta tin makanan telah dikumpulkan sejak acara itu ditubuhkan di Vancouver sejak beberapa tahun yang lalu.

Acara ‘canstruction’ yang diadakan baru-baru ini menampilkan 10 pasukan yang harus bekerjasama untuk membina pelbagai struktur dan skulptur daripada tin tuna, sup, kacang dan makanan lain.

Rekaan sarang lebah yang dihasilkan oleh salah sebuah pasukan yang menyertai inovasi rekaan arca daripada tin makanan. – Xinhua
Seorang kanak-kanak kelihatan terpegun melihat seni bina arca yang dihasilkan dan dipamerkan di sebuah pusat membeli-belah. – Xinhua
Salah seorang peserta melakukan aktiviti penyusunan barangan tin makanan bagi membentuk arca. – Xinhua

Setiap pasukan telah diperuntukkan sebanyak 12 jam untuk menyempurnakan binaan struktur dan skulptur di samping para pengunjung pusat membeli-belah itu turut mengambil kesempatan untuk merakamkan gambar.

Pameran arca akan terus kekal dipamerkan di pusat membeli-belah itu sehingga 11 November di mana barangan makanan yang digunakan bagi pembuatannya akan diberikan kepada bank makanan tempatan.

Setiap pasukan perlu menggunakan bahan mengikut senarai yang telah diberikan merangkumi bahan yang tidak mudah rosak dan makanan sihat.

“Terdapat lebih daripada 4,000 tin telah digunakan dalam pembinaan arca ini,” jelas Nikki Johnston yang giat melaksanakan rekaan arca sarang lebah bersama dengan pasukannya dari firma kejuruteraan Fast + Epp yang berpangkalan di Vancouver dan Universiti Simon Fraser.

“Kami hadir dengan idea untuk mereka sarang lebah. Di dalam sarang lebah tersebut ia juga turut dihuni oleh ratu lebah di atas takhtanya dengan dikelilingi oleh kumpulan lebah yang dihasilkan daripada tin makanan rempah dikenali sebagai Mrs. Dash. Kami ingin memastikan bahawa setiap rekaan tersebut adalah lebih tertumpu kepada konsep makanan bernutrisi tinggi dan kami juga tidak menggunakan sebarang gula-gula,” jelas Johnston kepada Xinhua.

Rekaan ratu lebah itu sememangnya cukup kreatif terutama apabila struktur badannya dihasilkan daripada tin kacang bersaiz besar dan pereka juga turut menggunakan pembersih paip berwarna hitam untuk membentuk seperti dua antena di atas kepalanya.

Sementara itu, Johnston turut menjelaskan bahawa skulptur dedaun pada sebatang pokok pula direka daripada teh hijau.

“Kami agak sibuk sejak kebelakangan ini terutama bagi memastikan rekaan ini dapat dihasilkan secara lancar,” jelasnya.

“Kami rasa setentunya ia adalah sesuatu yang sangat penting bukan sahaja kepada syarikat, sebuah organisasi yang menyumbang dalam memperkembangkan bandaraya bahkan ia juga dilihat sebagai salah satu tanggungjawab sosial,” tambahnya.

Selain itu, sebuah pasukan lain juga telah berjaya menampilkan rekaan ‘Smurf Village’ yang diinspirasikan daripada rancangan animasi tersebut. Di sebelahnya pula adalah rekaan ‘Whoville’ diadaptasi daripada siri Krismas klasik, ‘How the Grinch Stole Christmas’.

Penyelaras acara dari Greater Vancouver Food Bank, Jodie Ou, juga menjangkakan bahawa penganjuran acara itu secara tidak langsung akan berjaya mengumpulkan sekitar 45,000 tin makanan pada tahun ini.

Dia turut menambah bahawa kebanyakan makanan yang digunakan dalam menjayakan rekaan arca ini adalah hasil sumbangan daripada orang awam dan rangkaian kedai runcit tempatan.

“Kami memiliki seramai 10 orang pasukan yang gigih bekerjasama sedari jam 7 pagi lagi. Mereka telah memesan makanan daripada Save-On-Foods, mereka bentuk struktur dan hanya sekitar lima orang sahaja yang dibenarkan untuk melaksanakan tugas rekaan dalam satu masa,” jelasnya.

Ou menjelaskan ramai orang beranggapan bahawa Vancouver adalah sebuah bandar yang kaya namun hakikatnya mengikut statistik lebih daripada 27,000 orang di rantau itu yang bergantung harap kepada bekalan makanan dari bank makanan.

“Jumlah tersebut sememangnya agak ramai untuk dibantu. Rak kami sebenarnya agak kosong, jadi kami cuba untuk menganjurkan acara besar untuk meningkatkan kesedaran kepada orang awam khususnya mengenai bank makanan itu yang sememangnya merupakan satu cabaran,” jelasnya.

Dia turut mengatakan bahawa anugerah juga diserahkan pada akhir pertandingan khususnya bagi Kategori Rekaan Terbaik, Kerjasama Terbaik, Rekaan Keseluruhan Terbaik dan banyak lagi.

Pelanggan juga turut berpeluang untuk mengundi rekaan kegemaran mereka selepas memberi sumbangan kepada bank makanan di pusat membeli-belah itu.-Xinhua