Insiden culik Semporna isyarat jelas tingkat keselamatan ESSZone

TAWAU, 12 Sept – Insiden penculikan dua nelayan Indonesia semalam memberi isyarat jelas agar keselamatan di Sabah terus ditingkatkan dan tiada kompromi dengan isu keselamatan khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata penting untuk kerajaan menambah peruntukan yang mencukupi dalam mengawal selia perairan ESSZone yang merentasi 1,400 kilometer panjang.

“Saya bersetuju dengan langkah penjimatan kerajaan dari segi projek-projek pembangunan mega tetapi aspek keselamatan jangan kompromi kerana tempat-tempat ini ESSZone sering berlaku ancaman culik.

“Jangan sudah lama tidak berlaku penculikan, peruntukan keselamatan dikurangkan sebab itu penting kerajaan menambah peruntukan termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Maritim Malaysia dan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas selepas meninjau kawasan insiden penculikan di sini, hari ini.

Semalam dua nelayan Indonesia diculik sekumpulan penjenayah bersenjata di perairan Laut Pulau Gaya pada pukul 12.30 tengah malam.

Dalam pada itu Azis berkata aktiviti pelancongan di ESSZone masih terjamin dan orang ramai dinasihat tidak panik dengan insiden penculikan tersebut.

“Saya telah minta polis dan ESSCom mengetatkan kawalan keselamatan di Semporna dan ESSZone,” katanya sehingga kini pihak berkuasa belum menerima panggilan daripada penculik berhubung mangsa dan siasatan dalang disebalik kejadian itu juga masih dijalankan.

Selain itu, katanya sebagai langkah berjaga-jaga pihak berkuasa telah mengarahkan aktiviti menangkap ikan di kawasan penculikan diberhentikan sementara waktu mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) ditetapkan.

“Bila keadaan terjamin polis akan membuka semula aktiviti menangkap ikan perairan tersebut,” katanya.

Sementara itu, mengenai penggunaan pam bot di ESSZone, Azis berkata perkara itu akan dikaji semula sama ada akan mengharamkan atau membenarkan penggunaannya di ESSZone.

“Sebelum ini Kerajaan Negeri diterajui Warisan mahu pam bot dibenarkan semula untuk beroperasi dan berharap pihak keselamatan mempunyai alat setanding dalam membanteras penjenayah menggunakan pam bot,” katanya.

Azis berkata kerajaan negeri dan pihak berkuasa akan berbincang mengenai perkara itu semula.

Tinjaun Bernama di pekan Semporna mendapati aktiviti harian berjalan seperti biasa termasuk aktiviti pelancongan. – Bernama