Insiden di jambatan disiasat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Berikutan insiden yang berlaku di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, baru-baru ini, siasatan telah dijalankan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei.Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof turut menyatakan bahawa beberapa tindakan telah diambil oleh pihak pengurusan jambatan dari segi prosedur operasi standard (SOP) untuk pekerja.

Menurut beliau, penambahbaikan akan terus dibuat, antaranya untuk memantap-kan dan mengemaskinikan SOP keselamatan khususnya untuk pekerja.

Dari segi jadual pekerjaan, beliau berkata, ia perlu diselarasakan supaya tidak dibuat semasa jambatan tersebut digunakan.

“Apa yang penting adalah langkah-langkah keselamatan perlu diambil perhatian seperti pencahayaan dan visibility procedures hendaklah di buat oleh pihak-pihak pekerja,” tegasnya.

Perkara ini, ujar beliau, memang di bawah penelitian pejabat pengurusan jambatan dan jawatankuasa ini juga akan bersidang memikirkan cara dan perkara penting supaya perkara seumpama ini tidak akan berulang lagi.

Insiden yang berlaku di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien telah disiasat oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dan SOP bagi pekerja juga dikemaskinikan.

Yang Berhormat Dato menekankan perkara berkenaan bagi menjelaskan perkara yang dibangkitkan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

Pengurusan jambatan berkenaan diterajui bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama Kementerian Pembangunan.

Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, apabila sebarang insiden berlaku di mana saja, dua faktor akan disentuh iaitu SOP jalan raya dan tingkah laku pemandu di mana ini sering berlaku.

Dalam perkara ini, Yang Berhormat Dato menyeru semua pihak untuk menanamkan sikap rasa tanggungjawab dalam diri masing-masing sebagai pengguna yang mana menurut beliau, salah satu punca kemalangan di jalan raya adalah memandu melebihi had laju.

Menurutnya lagi, beberapa kemalangan yang mengakibatkan kematian pada tahun ini, kesemuanya didapati tidak memakai tali pinggang keledar.

Oleh itu, orang ramai diseru supaya melaksanakan tanggungjawab sosial dan menghormati apa saja insiden yang berlaku supaya tidak menularkan apa juga maklumat kerana terdapat akta mengenainya iaitu di bawah akta ketenteraman.