‘Insiden’ jejas bangunan di tapak nuklear

TEHRAN, IRAN, 2 JULAI – Kebakaran meletus awal hari ini di sebuah bangunan di atas tapak kemudahan pengayaan nuklear Natanz, walaupun para pegawai berkata ia tidak menjejaskan operasi empar atau menyebabkan sebarang pelepasan radiasi.

Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI) berusaha untuk tidak menghebohkan kebakaran itu, menggelarnya ‘insiden’ yang hanya menjejaskan ‘bangsal industri’, kata jurucakap Behrouz Kamalvandi.

Bagaimanapun, kedua-duanya Kamalvandi dan ketua nuklear Iran, Ali Akbar Salehi berkejar ke Natanz selepas kebakaran itu, yang pernah disasarkan dalam kempen sabotaj masa lampau.

Kamalvandi tidak mengenal pasti apa yang memusnahkan bangunan itu, walaupun gabenor Natanz, Ramazanali Ferdowsi berkata ‘kebakaran’ tercetus di tapak itu, menurut laporan dari agensi berita separa rasmi Tasnim.

Gambar kemudian disiarkan oleh agensi tenaga atom menunjukkan bangunan batu-bata dengan tanda terbakar dan bumbungnya jelas musnah. Tidak jelas jika ia adalah ‘bangsal’ yang Kamalvandi rujuk.

Serpihan pada tanah dan pintu yang kelihatan telah diletupkan menunjukkan ledakan telah dicetuskan oleh kebakaran. Data yang dikumpulkan oleh satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS mengatakan kebakaran meletus sekitar 2 pagi waktu tempatan di barat laut kawasan Natanz. Api dari kebakaran itu cukup terang untuk dikesan menggunakan satelit dari ruang angkasa.

“Terdapat kerosakan fizikal dan kewangan dan kami sedang menyiasatnya untuk penilaian. Namun tidak ada gangguan pada kerja-kerja di tapak pengayaan. Kerja masih diteruskan seperti sebelumnya,” kata Kamalvandi kepada televisyen Iran.

Tidak ada kerja-kerja pembinaan diumumkan di Natanz, pusat pengayaan uranium sekitar 250km selatan bandar Tehran. Natanz menempatkan kemudahan bawah tanah di bawah konkrit 7.6 meter, yang menawarkan perlindungan daripada serangan udara.

Natanz juga dikenali sebagai Loji Pengayaan Minyak Rintis, adalah antara tapak yang kini dipantau oleh IAEA selepas perjanjian nuklear Iran pada 2015 bersama kuasa-kuasa dunia. IAEA tidak memberi respons ketika diminta memberi komen mengenai insiden tersebut. – AP

Gambar serahan AEOINEWS menunjukkan sebuah gudang musnah di kemudahan Natanz, salah sebuah loji pengayaan uranium utama Iran, selatan Tehran pada 2 Julai. – AFP