Insiden letupan kereta ragut 5 jiwa

BEIRUT, 24 NOV – Satu insiden letupan kereta hari ini telah mengorbankan lima orang, kebanyakannya polis tempatan, di pinggir bandar Al-Bab yang dikuasai Turki di utara Syria, kata seorang pemerhati perang.

Letupan, yang menyasarkan balai polis, membunuh seorang ketua polis dari daerah lain, dua pegawai dan dua orang awam, lapor Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.

Ia juga mencederakan 19 yang lain, kata pemerhati tersebut. Tidak ada pengakuan pertanggungjawaban bagi pengeboman kereta itu, tetapi beberapa kejadian seumpamanya sering berlaku di Al-Bab sejak pihak berkuasa Turki menumpaskan kumpulan Islamic State (IS) pada tahun 2017.

Ketua badan pemerhati hak asasi manusia, Rami Abdul Rahman mengatakan “Kemungkinan semua serangan ini dikaitkan dengan kumpulan IS.”

Turki dan sekutu Syrianya mengawal beberapa kawasan wilayah di sempadan Syria berikutan tiga serangan tentera sejak 2016.

Al-Bab, 40 kilometer di timur laut bandar kedua Syria, Aleppo, merupakan salah satu kubu paling kuat di kawasan barat yang digambarkan oleh IS sebagai ‘khalifah’.

Pasukan Kurdish yang disokong AS merampas kubu terakhir IS di timur Syria pada Mac tahun lalu.

Tetapi kumpulan itu terus melakukan serangan di beberapa wilayah yang dikawal oleh pihak berkuasa.

Perang saudara Syria telah mengorbankan lebih dari 380,000 orang sejak ia bermula dengan penindasan tunjuk perasaan antikerajaan pada tahun 2011. – AFP

Penduduk setempat ketika memeriksa tempat di mana letupan kereta itu berlaku di bandar al-Bab yang dikuasai Turki di utara wilayah Aleppo, Syria, kelmarin. – AFP