KUALA LUMPUR, 25 MEI – Dapatan awal punca kemalangan dua tren perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC semalam disebabkan kecuaian pemandu gerabak (hostler) salah satu tren yang memandu pada arah yang salah.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata tren bernombor 40 (TR40) iaitu gerabak kosong sepatutnya bergerak ke arah selatan menuju ke Stesen Dang Wangi tetapi didapati bergerak ke arah utara, sekali gus mengakibatkan pelanggaran dengan TR81 yang membawa 213 penumpang kira-kira jam 8:33 malam.
Ia berdasarkan hasil siasatan awal yang dijalankan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), katanya dalam sidang media secara maya hari ini.
Menurut agensi berita AFP, beberapa penumpang mengalami luka lebam selepas tercampak dalam gerabak semasa perlanggaran, dengan ramai yang dibawa keluar di atas pengusung.
Kebanyakannya mengalami luka ringan namun 64 orang dibawa ke hospital, dan enam berada dalam keadaan kritikal hari ini, kata agensi terbabit.

Kereta api kosong itu mempunyai pemandu dan sedang diuji pandu selepas menjalani kerja-kerja pembaikan, sementara kereta api yang penuh dengan penumpang itu tidak mempunyai pemandu.
Pihak berkuasa berkata tidak adanya tanda-tanda perbuatan khianat dan mengesyaki kemalangan berpunca daripada salah komunikasi di antara pemandu dan pusat kawalan rangkaian.
Kemalangan berlaku hampir dengan sebuah stesen di bawah Menara Kembar, yang merupakan salah satu paling sibuk dalam rangkaian. Sistem kereta api yang terjejas meneruskan perkhidmatan awal hari ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyifatkan nahas sebagai ‘serius’ dan menggesa pihak berkuasa dan operator kereta api ‘melancarkan siasatan secara menyeluruh’. – Bernama/AFP