Penyanyi Ayu Ting Ting mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai insiden kematian tiga orang individu di pusat hiburan karaoke miliknya di Bengkulu, Indonesia.
Difahamkan kejadian itu mempunyai kaitan dengan minuman keras.
Pihak berkuasa tempatan melaporkan ahli keluarga mangsa turut berkunjung ke pusat hiburan tersebut.
Ayu walau bagaimanapun enggan mengeluarkan sebarang kenyataan saat ditemui media di kediamannya di Depok, Jawa Barat berhubung insiden dan dakwaan punca kejadian.
Sebelum itu, peguam mangsa, SA Reno Ardiansyah memberitahu bahawa Ayu Ting Ting dikaitkan dengan tuduhan lalai sehingga menyebabkan kematian.
“Kami melaporkan Ayu Rosmalina atau Ayu Ting Ting selaku pemilik premis dan pengurusan karaoke Ayu Ting Ting Bengkulu mempunyai kaitan dengan insiden maut yang melibatkan tiga individu atas sebab kelalaian beliau,” kata Reno.
Pihak perundangan turut meminta siasatan terhadap prosedur makanan dan minuman yang dihidangkan kepada mangsa dilakukan.
Siasatan awal mengesyaki mangsa meninggal dunia disebabkan minuman keras yang ditemui di lokasi kejadian. – Agensi