Insiden tembak ragut 12 nyawa

THOUSAND OAKS, Amerika Syarikat, 8 Nov – Seorang lelaki bersenjata membunuh 12 orang termasuk seorang pegawai polis apabila dia melepaskan tembakan secara rambang di dalam bar yang dipenuhi oleh pelajar-pelajar kolej di California, menurut pegawai dan saksi.

Pihak polis berkata lelaki tersebut ditemui mati di dalam bar tersebut meskipun belum ada maklumat jelas sama ada dia dibunuh oleh para pegawai atau membunuh diri.

Bercakap semasa sidang akhbar hari ini, menurut syerif, beberapa orang mengalami kecederaan dan motif penembakan dan identiti penembak itu masih belum diketahui, tambahnya. Ia merupakan kejadian tembakan kedua di Amerika dalam tempoh kurang dua minggu.

Para saksi berkata lelaki bersenjata itu telah melontar beberapa grenad asap ke dalam bar tersebut sebelum dia mula melepaskan tembakan kira-kira 11:20 malam kelmarin.

“Ia merupakan detik yang sangat menakutkan. Kesan darah ada di mana-mana,” beritahu Syerif Geoff Dean.

“Kami masih belum tahu jika ia ada kaitan dengan pengganas. Seperti yang anda ketahui, siasatan masih dijalankan dan butiran lanjut akan dikeluarkan secepat mungkin di mana kami cuba untuk mengenali siapa suspek itu dan apakah motifnya.

“Saya atau FBI tidak percaya ini ada kaitan dengan pengganas. Kami akan melihat lagi perkara itu.”

Menurut Dean, pegawai polis yang terkorban dikenali sebagai Ron Helus dan telah berkhidmat selama 29 tahun, merupakan antara yang pertama tiba di tempat kejadian.

“Mereka mendapati 11 mangsa telah terkorban,” menurut Dean sebelum memberitahu bahawa kematian Helus menambah jumlah kematian kepada 12 orang, tidak termasuk lelaki bersenjata itu. – AFP

Mangsa-mangsa serangan tembak duduk berhampiran tempat kejadian selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan secara rambang di sebuah bar di California. – AP