Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Berikutan video tular menunjukkan sebuah bot Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang mengejar sebuah bot di perairan Limbang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan satu kenyataan media menyatakan bahawa perkara berkenaan merupakan satu insiden kejar-mengejar.
Insiden tersebut membabitkan Polis Marin Brunei dan bot disyaki milik warga Brunei di perairan Sungai Limbang dalam kejadian yang berlaku pada Selasa lepas.
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 3 petang, di mana sebuah bot Polis Marin Brunei mengejar sebuah lagi bot warga Brunei sehingga memasuki perairan Malaysia di Sungai Limbang yang menarik perhatian warga Limbang hingga menjadi tular.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot dalam kenyataan itu menjelaskan bahawa, insiden kejar-mengejar tersebut dilakukan untuk mengekang kegiatan disyaki melanggar undang-undang kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Brunei.
Katanya lagi, tindakan Polis Marin Brunei itu adalah tindakan serta-merta pihak berkuasa perairan demi menjaga keselamatan dan memelihara keamanan kedua-dua negara.
Kerjasama antara penguat kuasa terutamanya PDRM bersama PPDB akan diteruskan dan ditingkatkan bagi tujuan tersebut.
Sehubungan itu, PDRM Limbang tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan semua yang disyaki terlibat demi keselamatan negara.
Menurut beliau, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang juga telah merampas sebuah bot disyaki milik warganegara Brunei yang telah melarikan diri dan pihak polis sedang menyiasat kes berkenaan.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat palsu yang tidak berasas atau berunsur negatif tanpa mengetahui fakta sebenar bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.