‘Inspektor’ dipenjara 12 bulan kerana menyamar, subahat

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Seorang lelaki penduduk tetap telah dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin, atas kesalahan menyamar sebagai pegawai polis dan bersubahat dalam jenayah pecah amanah seorang pegawai polis dengan menghasut penjualan harta polis secara haram.

Mohammad Azwan bin Zawawi telah menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap dakwaan berkenaan sebelum perbicaraan mahkamah bermula.

Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menjatuhkan hukuman tersebut berikutan pengakuan bersalah tertuduh terhadap satu dakwaan menyamar sebagai inspektor Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan memakai seragam yang menyerupainya sekitar 8 dan 10 Oktober 2017. Pada Ogos 2017, tertuduh juga bersubahat dengan Lans Koperal 5286 Arman anak Degat dalam jenayah pecah amanah dengan menghasutnya untuk menjual harta milik PPDB yang diamanahkan kepada Arman.

Arman adalah penjaga stor di Ibu Pejabat Daerah Polis Temburong dan barangan yang dilibatkan adalah topi polis dan beret, tali pinggang webbing, lima butang 26L, empat butang 36L, satu wisel, satu set lencana kolar leher dan satu set epaulet.

Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali mendedahkan kepada mahkamah bahawa tertuduh mempunyai hasrat untuk menjadi pegawai polis dan mahu merakamkan gambar dengan memakai seragam polis menyerupai watak daripada rancangan Gerak Khas pada Julai 2017 selepas menonton beberapa filem dan siri TV mengenai polis Malaysia. Arman yang merupakan rakan kepada Azwan telah dihubunginya, memberitahunya bahawa seorang pengumpul warga Singapura mahu mendapatkan kit seragam polis.

Arman bersetuju untuk menjual kit berkenaan pada harga $2,000 kepada pengumpul berkenan, yang tidak diketahui oleh Arman bahawa ia hanyalah watak rekaan tertuduh.

Barangan berkenaan diserahkan oleh Arman kepada tertuduh secara berasingan, dua kali apabila Arman tidak dibayar. Pada Julai 2017, tertuduh menempah seragam polis di sebuah kedai malah membuat lencana dengan lambang PPDB dan tag nama ‘INSP AZWAN’. Kemudian dia membeli sepasang kasut hitam berkilat.

Pada Oktober 2017, tertuduh berkenalan dengan seorang wanita dari Instagram, kemudian berbual menerusi WhatsApp dan demi mengambil hatinya, tertuduh memberitahu wanita berkenaan bahawa dia seorang inspektor yang sedang dipindahkan dari Balai Polis Seria dari Unit Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB. Antara 8 dan 10 Oktober 2017, tertuduh menghantar lima gambarnya menyamar sebagai polis kepada wanita berkenaan untuk meyakinkannya.

Wanita berkenaan bertanya kepada saudaranya yang bekerja dalam pasukan polis mengenai Inspektor Azwan. Saudara wanita berkenaan memberitahu bahawa dia tidak mengenalinya yang membuatkan wanita tersebut membuat laporan polis pada 12 Oktober 2017 yang membawa kepada penahanan tertuduh.

Peguam bela Pengiran Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin dalam rayuan pengurangan hukuman bagi pihak tertuduh, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman di bawah Akta Percubaan dan Khidmat Masyarakat sementara menekankan situasi peribadi tertuduh, penyesalannya, niatnya menyimpan seragam itu untuk sementara dan hanya menggunakannya untuk memikat hati wanita dan sebagainya. Ketua majistret dalam menjatuhkan hukuman berkata, menyamar sebagai polis boleh membawa kepada kesalahan seperti dalam kes ini jika fantasi tertuduh menjadi luar kawalan.

Mahkamah juga mengambil kira faktor-faktor pengurangan kes tetapi berkata bahawa Perintah Percubaan sebagai hukuman tidak wajar dalam kes berkenaan kerana tiada faktor-faktor meringankan daripada kes berkenaan dan hukuman denda tidak akan menggambarkan betapa beratnya kesalahan itu.