Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Seorang lelaki yang sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan menyamar sebagai pegawai polis, telah menukar pengakuannya kepada ‘tidak bersalah’ di Mahkamah Perantaraan, hari ini.
Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni membenarkan Mohamad Azwan bin Zawawi, 43, menukar pengakuannya dan menetapkan 22 November untuk sebutan seterusnya.
Tertuduh didakwa menyamar sebagai ‘Inspektor’ yang berkhidmat dengan Pasukan Polis Diraja Brunei dengan memaklumkan pekerjaannya itu kepada seorang wanita, yang mana tertuduh turut mengirim lima keping gambarnya yang berpakaian seragam polis melalui WhatsApp.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu sekitar 8 dan 10 Oktober 2017.
Tertuduh diwakili Peguam Pengiran Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman.