Inspirasi flora dan fauna dari Temperly London

Oleh Zanyra Dawoud

 

KEINDAHAN flora dan fauna memang secara lazimnya telah berjaya memukau setiap mata yang memandangnya.

Alice Temperly, seorang pereka fesyen terkemuka dari London juga tidak ketinggalan untuk menampilkan keindahan konsep flora dan fauna di dalam koleksi fesyen terbarunya.

Beliau memang merupakan seorang pereka fesyen yang cukup berani bereksperimen dalam menampilkan fesyen busana yang sangat cantik di dalam setiap koleksi fesyen yang dihasilkannya.

Menyentuh mengenai pilihan warna, Temperly lebih banyak menggunakan pilihan warna segar seperti merah, biru dan merah jambu sebagai warna asas pada busana yang ditampilkan.

Manakala motif yang dipilih untuk menghiasi kain polos pada busana yang ditampilkan adalah terdiri daripada bentuk bunga, tumbuh-tumbuhan dan binatang seperti musang, siput serta burung.

Pada dasarnya, setiap motif rekaan yang ditampilkan adalah jelas sangat teliti memandangkan terdapat motif bunga dan hiasan kristal pada beberapa pasang busana yang dilakukan dengan seni jahitan tangan terutama pada busana yang menggunakan jenis kain organza.

Sementara itu, ada beberapa pasang busana yang turut menampilkan motif bunga yang dihasilkan secara digital terutama pada busana yang menggunakan jenis kain satin.

Sebelum ini, Temperly cukup terkenal dalam menghasilkan fesyen busana terdiri daripada gaun mini yang hanya sesuai untuk digayakan pada waktu siang.

Namun kini, beliau lebih berani untuk terus bereksperimentasi dalam menzahirkan pelbagai fesyen busana yang terdiri daripada gaun malam, seluar jenis culottes dan khaki serta kot besar yang turut menampilkan lengan unik berbentuk seperti loceng.

Secara keseluruhan, setiap busana yang ditampilkan dalam koleksi terbaru daripada jenama Temperly London ini setentunya akan memberikan penampilan yang sangat anggun dan elegan kepada wanita yang menggayakannya.