Inspirasi hidangan rantau Asean

Oleh Ak Zaki Kasharan

Setiap pengguna dan penumpang yang pernah mengikuti syarikat penerbangan kos rendah terbesar di Asia Tenggara, AirAsia sudah pastinya tidak asing lagi dengan menu-menu istimewa yang disajikan dalam kapal terbang tersebut seperti Nasi Lemak Pak Nasser dan Nasi Ayam Uncle Chin.

Dengan pelancaran restoran pertama AirAsia baru-baru ini yang terletak di gedung membeli-belah terkenal dan tidak asing lagi di Kuala Lumpur iaitu di Mid Valley Megamall, para penggemar menu serta hidangan berkenaan kini berpeluang mendapatkannya dengan lebih mudah lagi.

Santan dan T&CO menawarkan pelbagai hidangan popular ASEAN bermula dengan harga serendah RM12 atau kira-kira $4, para pelanggan kini boleh menikmati Nasi Lemak Pak Nasser dan Nasi Ayam Uncle Chin serta hidangan popular lain yang diilhamkan oleh negara-negara ASEAN seperti Mi Ikan bersama Nenas dari Kemboja, Ayam Inasal berserta Nasi Bawang dari Filipina, selain teh dan kopi dari rantau Asean, snek dan pencuci mulut tempatan seperti Nasi Lemak Quinoa dan Kek Onde-Onde.

Restoran yang terletak di Mid Valley Megamall tersebut boleh menampung seramai 130 orang pelanggan dalam satu masa tersebut kini merealisasikan impian para penggemar makanan jenama menu dalam penerbangan AirAsia, Santan dan T&CO dan berpeluang membawa rakan serta keluarga mereka bersama-sama untuk menikmati menu-menu makanan segera ASEAN berkenaan.

Menu yang paling digemari

Pengurus Besar Restoran Santan dan Kafe T&CO, Catherine Goh  ketika ditemui semasa majlis pelancaran restoran berkenaan baru-baru ini menjelaskan bahawa Nasi Lemak Pak Nasser merupakan antara menu yang paling laris dijual dan mendapat permintaan yang tinggi di kalangan para pelanggan tempatan mahupun luar negara.

Majlis pelancaran Restoran Santan dan T&CO di Mid Valley Megamall baru-baru ini.
Sebahagian daripada kemudahan digital yang digunakan di restoran tersebut.
Nasi Lemak Pak Nasser yang digemari ramai.
Antara menu yang boleh didapati di restoran berkenaan.

Perasaan hampa dan kecewa sudah pasti akan membelenggu diri setiap peminat Nasi Lemak Pak Nasser tersebut jika sekiranya menu popular tersebut sudah habis terjual semasa membuat pesanan di dalam kapal terbang ketika dalam penerbangan, namun hal itu sudah pasti akan terubat dengan adanya restoran Santan dan Kafe T&CO yang baru sahaja diperkenalkan.

Nasi Lemak Pak Nasser dihidangkan bersama Ayam Rendang, Ikan Bilis (Pusu), Telur Rebus, Kacang Tanah, Sambal Cili Pak Nasser, mempunyai keseimbangan rasa yang memberikan kepuasan kepada mereka yang menikmatinya.

Sambal yang dihidangkan selain mempunyai rasa pedas dan manis juga dihidupkan lagi dengan aroma yang sesuai dengan lidah penggemarnya lebih-lebih lagi di kalangan lidah orang-orang Melayu. Selain itu rendang ayam yang disajikan bersama dalam hidangan tersebut menambahkan lagi rasa nikmat dalam suapan demi suapannya.

Sehingga ke hari ini, lebih 100,000 bungkus nasi lemak telah disajikan dan bilangan ini sudah sepastinya meningkat dari semasa ke semasa dengan pantasnya lebih-lebih lagi setelah pelancaran restoran tersebut kerana harganya yang boleh dikatakan berpatutan ditambah dengan rasanya yang pasti tidak akan mengecewakan sesiapa pun.

Selain Nasi Lemak Pak Nasser, antara menu yang juga mendapat permintaan ramai ialah Sate Ayam yang turut didatangkan dengan Nasi Impit, Timun, Bawang dan Kuah Kacang yang cukup seimbang dengan teksturnya. Rasa empuk pada daging ayam dan perapan yang menyaluti sate ayam tersebut jelas membuatkan setiap yang merasakannya mahu mencubanya lagi.

Bagi para penggemar masakan jenis mi, restoran tersebut juga menyediakan pelbagai hidangan mi seperti Kari Laksa Nyonya, Vietnamese Chicken Pho, Cambodian Pineapple Fish Fillet Noodles dan menu yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat kita iaitu Mee Goreng dengan Ayam Berempah.

Secara keseluruhannya Santan dan T&CO menawarkan sebanyak 15 jenis menu hidangan ASEAN yang cukup sedap dan memuaskan serta memikat hati.

Restoran dan kafe ini juga turut menggunakan kecanggihan teknologi terkini dengan memaparkan menu pintar yang dilengkapi dengan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin untuk mencadangkan hidangan popular berdasarkan masa, corak pesanan lalu dan demografik.