ASUNCION, PARAGUAY — Awda pasti terpaku dan terpesona ketika melihat keindahan koleksi karya bola artis Paraguay, Lili Cantero yang di dedikasikannya untuk Piala Dunia.
Memperincikan stadium mewah kejohanan akan datang di Qatar, yang pertama berlangsung di Timur Tengah serta pemain dan pasukan yang paling dicari, Cantero menyediakan butiran terakhir pertunjukan seninya yang diilhamkan dari bola sepak, 8 Stadiums , 8 Champions, 1 Dream: Qatar 2022.
“Kami akan mempamerkan 25 karya secara keseluruhan yang terdiri daripada kasut, bola, kanvas dan juga struktur 3D,” kata Cantero yang berusia 29 tahun.
Berpaksikan konsep No. 8, karya itu bertujuan untuk menonjolkan sejarah Piala Dunia yang hanya dimenangi oleh lapan negara.
Brazil telah memenangi kejuaraan Piala Dunia terbanyak iaitu sebanyak lima kali, diikuti Itali dan Jerman dengan memenangi kejuaraan sebanyak empat kali, seterusnya Uruguay, Argentina dan Perancis dengan kemenangan dua kali, dan England serta Sepanyol masing-masing memenangi sekali kejuaraan.
Disokong oleh kedutaan Paraguay di Qatar, bersempena dengan Kampung Budaya Katara di ibu negara Qatar, pameran yang diilhamkan oleh bola sepak, Piala Dunia, budaya berbeza akan dibuka pada 18 November di Doha, dua hari sebelum kejohanan bermula.
Walaupun bola yang dilukis dengan tangan akan berada di tengah-tengah pertunjukan, kasut bola sepak yang berhias akan dipersembahkan dalam paparan 3D yang menayangkan representasi stadium Piala Dunia di Qatar. Mereka juga menayangkan imej Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, kuda dan helang, dan simbol lain yang berkaitan dengan budaya Timur Tengah, Amerika Latin dan Paraguay.
Bakat Cantero telah menjadi tumpuan pada tahun 2018. Sepasang kasut bola sepak yang dihiasi dengan seninya dan diperincikan dengan galeri imej hitam putih Lionel Messi dan keluarganya telah dihantar kepada pemain itu.
Selepas imej kapten Argentina yang bergambar dengan kasut itu dikongsi secara meluas di media sosial, karier Cantero melonjak dengan permintaan untuk reka bentuk daripada pemain profesional di luar negara asalnya Paraguay, termasuk bekas penyerang Brazil, Ronaldinho.
Dia secara peribadi harus menghadiahkan kasut itu kepada Ronaldinho yang menggambarkan ciuman daripada ibu kepada pemain itu selepas memenangi anugerah Ballon d’Or pada 2005 sebagai pemain bola sepak terbaik di dunia.
“Apabila saya melukis untuk pemain, apa yang saya cuba lakukan ialah mencari kisah pemain itu, kerana meskipun pemain itu dianggap sebagai idola namun ramai orang lupa bahawa di belakang pemain itu ada seseorang,” kata Cantero.
Tafsiran pandangan unik Cantero tentang ilham sukannya kembali ke zaman mudanya. Dari ateliernya di pinggir Asuncion, dia masih ingat menyelak halaman ensiklopedia di rumah, terpesona dengan karya pelukis terkenal.
Di sekolah, dia pernah menghiasi sandal putih dengan motif cerah. Di kolej, dia melukis sandal sekali lagi sebagai sebahagian daripada projek yang diberikan, di mana pelajar melancarkan perniagaan kecil mereka sendiri.
Melalui hebahan dari mulut ke mulut, rakan-rakan yang bermain bola sepak mula memintanya melukis kasut mereka. Akhirnya, dia mula mereka bentuk untuk kedai sukan tempatan dan mendapat permintaan daripada atlet profesional.
Hanya beberapa hari sebelum berlepas ke Qatar, Cantero sempat memikirkan tentang masa depan.
“Saya ingin terus berkembang untuk bekerjasama dengan wilayah dan negara lain. Mengusahakan projek yang lebih tertumpu di Amerika Syarikat (AS), memandangkan Piala Dunia seterusnya akan diadakan di AS, Mexico dan Kanada.” – AP