Instagram ketatkan peraturan

SAN FRANCISCO, 8 Feb – Lewat semalam Instagram mengumumkan ia akan mengetatkan kawalan ke atas imej-imej berkaitan kecederaan sendiri seperti mengelar.

Langkah itu dibuat selepas Setiausaha Kesihatan Britain Matt Hancock mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat media sosial tentang menggiatkan usaha untuk mengawal kesihatan mental para remaja yang menggunakan platform ini.

Seorang remaja perempuan Britain Molly Russel ditemui mati di bilik tidurnya dalam tahun 2017. Remaja berusia 14 tahun itu telah membunuh diri dan akaun instagramnya dilaporkan mendedahkan dia mengikuti akaun berkaitan kemurungan dan bunuh diri.

“Menggembirakan apabila melihat langkah tegas kini diambil untuk cuba melindungi anak-anak daripada kandungan yang mengganggu di Instagram,” kata ayah budak perempuan itu, Ian Russell.

“Kini tiba masanya bagi platform media sosial lain untuk mengambil tindakan mengakui tanggungjawab mereka juga terhadap pengguna mereka jika internet akan menjadi tempat selamat bagi anak-anak muda dan mereka yang mudah terdedah kepada bahaya.”

Perubahan pada peraturan kandungan yang membahayakan diri sendiri dalam akaun Instagram menyusuli kajian semula menyeluruh yang melibatkan pakar-pakar dan ilmuan dari seluruh dunia tentang belia, kesihatan mental dan bunuh diri, menurut ketua eksekutif Adam Mosseri.

“Dalam tempoh bulan lalu, kita tidak berada pada kedudukan yang perlu berkaitan membahayakan diri sendiri dan bunuh diri, dan kita perlu berusaha lebih untuk mengawal penggunaan selamat Instagram mereka yang mudah terdedah pada bahaya,” Mosseri berkata di online.

“Kami tidak akan membenarkan sebarang imej grafik membahayakan diri sendiri, seperti mengelar di Instgram, meskipun sebelumnya ia dibenarkan.”

Instagram tidak pernah membenarkan pemuatan naik yang menggalakkan bunuh diri atau membahayakan diri sendiri.

Perkhidmatan milik Facebook sedang mengeluarkan rujukan kepada kandungan bukan grafik berkaitan mereka yang mencederakan diri sendiri, seperti luka yang telah sembuh, dari search, hastag, explore atau rencana yang disyorkan. – AFP