Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Usaha terus digandakan untuk meningkatkan keupayaan sumber tenaga manusia di kalangan anak tempatan bagi menangani masalah pengangguran dan dalam hubungan itu, pihak kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi membantu mereka termasuk pelaksanaan program I-RDY pada awal April nanti.
Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga sedang meneliti bagi penubuhan sebuah institusi yang dapat membantu pencari kerja bukan graduan di mana ia akan menyalurkan latihan yang menjurus kepada kompetensi mereka.
Penelitian penubuhan institusi itu dikongsi oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar (gambar) dalam ucapan penangguhannya di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.
“Bagi membantu pencari kerja bukan graduan, pihak kerajaan berhasrat memperluaskan lagi penyaluran kepada latihan yang menjurus kepada kompetensi anak-anak tempatan dengan penubuhan sebuah institusi yang memfokuskan kepada 30 ke 40 peratus peringkat bawahan untuk meningkatkan kemahiran mereka supaya mereka menjadi industry-ready.”
Menurut Yang Berhormat Pehin, perkara itu sedang diteliti oleh pihak-pihak yang berkenaan dan ia akan dapat direalisasikan di masa yang terdekat ini.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa terdapat empat program lagi yang telah diperuntukkan di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-11 (RKN11) iaitu program Learn and Grow iaitu Industry Competency Framework dan Skills Accreditation, Growth for Excellence iaitu Professional Certification dan program penempatan industri, Upskilling and Reskilling bagi pencari kerja tempatan dalam pertengahan kerjaya (mid-career) dan bantuan kewangan latihan (Training Grants) yang membantu membiayai kos bagi kursus bagi pekerja tempatan di syarikat tempatan.
“Program-program ini memberi peluang kepada anak-anak tempatan untuk meningkatkan kompetensi, kemahiran dan keupayaan mereka serta penempatan di sektor swasta,” katanya sambil berharap menerusi pelaksanaan program-program berkenaan, ia akan dapat membantu anak-anak tempatan untuk mendapatkan pekerjaan.
Di samping itu, beliau turut menekankan mengenai usaha untuk membangunkan ekonomi digital di Negara Brunei Darussalam, yang amat penting bagi membolehkan perusahaan-perusahaan tempatan terus berkembang dan memudahkan penembusan ke pasaran antarabangsa.
“Kita perlu membina ekosistem yang akan memudahkan penggunaan teknologi maklumat, bukan sahaja dalam bidang e-commerce, malah dari pelbagai segi yang dapat memantapkan perkhidmatan dan produk tempatan.”
Ke arah itu, Darussalam Enterprise (DARe) akan mengendalikan satu program bagi memulakan platform e-commerce untuk sekurang-kurangnya 1,000 PMKS untuk mempromosikan perkhidmatan serta produk tempatan di dalam dan di luar negeri.
“Dalam hal ini, kita hendaklah menumpukan perhatian kepada pembangunan keupayaan dan daya inovasi orang-orang kita dalam bidang teknologi maklumat dan programming supaya mereka mampu meningkatkan lagi keupayaan perindustrian kita.”
Beliau berkata bahawa jenis-jenis perindustrian yang akan datang bukan sahaja di bidang tradisional seperti bidang pembuatan tetapi ia juga akan berkait rapat dengan penggunaan teknologi dan penggunaan data besar (big data).
“Namun begitu, saya ingin menekankan, walaupun dalam revolusi digital ini, kita janganlah mengabaikan budaya kita.
“Ianya melambangkan keunikan kita dan juga menjadi satu kelebihan dalam bidang perindustrian.
Produk dan perkhidmatan yang berlandaskan nilai-nilai dan budaya kita sebagai rakyat Negara Brunei Darussalam yang beragama Islam sebagai agama rasmi negara tidak terdapat di mana-mana pun dan ia menjadi satu keistimewaan dan niche advantage bagi kita pada masa akan datang, terutamanya di kalangan pengguna-pengguna yang beragama Islam mahupun di kalangan pengguna yang menginginkan produk dan perkhidmatan yang beretika, bersih dan berintegriti.”