Oleh Dr. Muhammad Hadi Md Melayong
Pejabat Sekretariat, Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja
DALAM Seminar Internasional Leksikologi dan Leksikografi “Teknologi Bahasa dan Budaya dalam Penelitian Leksikologi dan Leksikografi” yang dianjurkan oleh Laboratorium Leksikologi dan Leksikografi Departemen Linguistik Fakultas Ilmu Pengetahuan Budaya Universitas Indonesia, Depok Jakarta pada hari Kamis, 4hb Mei 2017, dua orang perwakilan dari Negara Brunei Darussalam telah menyampaikan kertas kerja yang memfokuskan kepada peranan institusi beraja dalam mendukung perkembangan dan pengukuhan penggunaan Bahasa Melayu.
Dua buah kertas kerja yang diketengahkan oleh penulis sendiri dan juga oleh Awang Zulkiflee bin Haji Abdul Latif yang bertajuk “Bahasa (Melayu) Berupaya Mengekalkan Negara Melayu Islam Beraja” (Surutan Dalam Konteks Sejarah). Manakala kertas kerja kedua dari penulis ialah “Peranan Bahasa Dalam Penamaan Geografi”. Kedua-dua kertas kerja ini melihat kepentingan pengamalan pemerintahan sistem beraja di Negara Brunei Darussalam yang secara langsung telah memperkasakan dan memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara berdasarkan kepada Perlembagaan Negeri Brunei 1959 pindaan 2004 dan 2008.
Perkara pokok yang diperbincangkan dalam kertas kerja Haji Zulkiflee adalah tentang kemampuan dan keupayaan Bahasa Melayu sebagai alat perantaraan dan perhubungan sosiopolitik serta ekonomi di sepanjang kebangkitan Kesultanan Brunei sejak abad ke-14 hingga ke-abad 21 ini. Kekukuhan dan kesinambungan pengamalan sistem beraja dari sejak kewujudan Kerajaan Brunei Tua yang wujud sejak kurun ke-7 lagi Bahasa Melayu telah menjadi bahasa langua franca dan perhubungan dalam dan luar negeri.
Ketuanan Bangsa Brunei yang mengamalkan budaya dan bahasa Melayu sebagai keidentitian kebruneian diperkukuhkan lagi dengan kedatangan Agama Islam ekoran dari pengislaman Awang Alak Betatar (Sultan Muhammad Shah) setelah perkahwinannya dengan Puteri Johor (Singapura TUa) dalam tahun 1368 Masihi. Kesultanan Brunei yang diasaskan oleh Sultan Muhammad Shah ini dikatakan ada kaitan dengan keturunan dari Raja-Raja Melayu dari Bukit Siguntang, Palembang yang mempengaruhi sejarah perkembangan Kerajaan-kerajaan Melayu Nusantara yang akan dijejak kesinambungannya sejak merajai Singapura (Sang Nila Utama) dalam abad ke 13 Masihi.
Ketamadunan Melayu khususnya dalam perdagangan maritim sehingga ke zaman kemunculan kerajaan Melaka dari abad ke 13 Mesehi telah mengambil peranan penting sebagai pusat perdagangan dan menghidupkan ketamadunan Melayu Nusantara. Dengannya bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa perdagangan internasional atau lingua franca. Maka bahasa ini mengambil alih dalam sibaran politik dan mengekalkan kedaulatan Bangsa Melayu di setiap wilayah dan kerajaan.
Dari perspektif sejarah Brunei salah sebuah kerajaan Melayu mengamalkan budaya Melayu, beragama Islam dan pemerintahan beraja menjadikan elemen ini sebagai teras kepada kewujudan Negara Melayu Islam Beraja yang kekal sehingga ke hari ini. Hubungan timbal balik dalam pengamalan antara bahasa dan sistem beraja telah menyumbang kepada penerusan survival warisan orang Brunei melalui alat perhubungan iaitu Bahasa Melayu. Maka peranan bahasa ini di peringkat awal kewujudan sistem beraja telah dapat menyatupadukan rumpun bangsa Melayu yang berlainan etnik dalam menghadapi kemajuan ketamadunan dan rintangan. Warisan ini sebagai penyatuan dan perpaduan kehidupan bermasyarakat berlaku sehingga hari ini khususnya di Negara Brunei Darussalam umumnya penduduk kepulauan Borneo.
Pada zaman silamnya perhubungan diplomatik dengan masyarakat luar dan hubungan perdagangan berjalan dengan aman dan baik berdasarkan kepada kerjasama dan persetujuan serta perjanjian bagi keuntungan bersama. Malahan dalam waktu perbalahan, pertelingkahan serta peperangan seperti pencerobohan kuasa-kuasa Barat, bahasa Melayu ini diperalatkan sebagai penghubung penyatuan tenaga dan penyelesaian masalah dari sudut politik dan ekonomi. Hal ini digambarkan melalui peninggalan manuskrip-manuskrip lama melalui karya ketamadunan Bangsa Melayu yang ditulis dalam Bahasa Melayu seperti; sindiran, seloka, kiasan, pantun, surat perjanjian, kitab agama juga melalui puisi yang kebanyakan ditulis dalam tulisan jawi dan kemudiannya rumi. Ini adalah merupakan khazanah keMelayuan yang mudah difahami oleh etnik sewilayah atau kawasan kedaerahannya.
Perpaduan ras dari penggunaan bahasa Melayu telah mengukuhkan kekuatan dalam menghadapi emosi tanpa mendapat kesangsian luar kerana, ianya lebih merupakan hasil sastera. Bagi Brunei antara hasil sastera yang melambangkan keagungan Bahasa Melayu ialah Syair Awang Semaun – manuskrip pembentukan Kerajaan Brunei Kurun ke-15, Syair Rakis dari Pengiran Shahbandar Pengiran Muhammad Salleh (dalam era kedatangan kuasa Barat), Syair Perlembagaan 1959 (mengenai liku-liku pembentukan Brunei Berperlembagaan bagi mengembalikan kedaulatan dari Kerajaan British), dan puisi-puisi ke nasionalis mean dari penulis-penulis veteran Brunei seperti; H.M.Salleh, Yura Halim, Awang Mohd.Jamil, Yahya M.S., Badaruddin H.O., Adi Rumi dan lain-lain. Hubungan etnik kukuh dengannya dan hidup rukun damai dan gotong royong membawa kepada pengekalan kemerdekaan Negara dengan berpegang kepada falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
Secara keseluruhannya kertas kerja Haji Zulkiflee menggambarkan bahawa secara tidak langsung kesinambungan kewujudan Negara Melayu Islam Beraja telah dari sejak abad ke 14 telah berperanan mengembangkan dan mengukuhkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa perantaraan dalam mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama samada dalam negeri ataupun peringkat serantau dan antarabangsa khususnya di era sebelum Perang Dunia Kedua. Sebagaimana titah Baginda Sultan sempena Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (1961 – 2011) pada hari Sabtu, 19 Syawal 1432H/17 September 2011M bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.:
Bahasa Melayu pernah mencatat sejarah keagungannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 Masihi lagi, apabila ia diangkat sebagai bahasa lingua franca atau bahasa perantaraan, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan di antara penduduk tempatan dengan bangsa asing, dan bahasa perdagangan di seluruh rantau Kepulauan Melayu. Dalam tahun-tahun 1603 – 1708, dua belas (12) buah kamus Melayu telah diterbitkan oleh bangsa asing. Ini menunjukkan betapa giatnya orang-orang Eropah dan bangsa-bangsa lain mempelajari Bahasa Melayu ketika itu.
Manakala dalam kertas kerja kedua dari penulis membincangkan tentang kepentingan pengamalan nilai-nilai Melayu Islam Beraja dengan tajuk “Peranan Bahasa Dalam Penamaan Geografi”. Kertas kerja ini cuba untuk mengetengahkan mengenai peranan dan pengaruh Bahasa Melayu yang merupakan salah komponen penting dalam falsafah Negara Melayu Islam Beraja yang menjadi salah satu penentuan penting kepada penamaan geografi di Negara Brunei Darussalam. Dalam memastikan kelangsungan penggunaan Bahasa Melayu dalam semua kehidupan termasuk bagi pendukungan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Penubuhan Jawatankuasa Nama-Nama Geografi Negara Brunei Darussalam (JKNG) juga berperanan secara tidak langsung mengukuh dan memantapkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara. Ini adalah kerana tugas dan tanggungjawab jawatankuasa ini adalah menentukan dan mencadangkan nama-nama geografi di Negara Brunei bersandarkan kepada sosiobudaya keMelayuan, keIslaman da Kerajaan dengan menggunakan Bahasa Melayu sama ada tulisan jawi ataupun rumi. Bagi Negara Brunei, JKNG memainkan peranan penting bagi mencadangkan dan menentukan penamaan geografi di keempat-empat daerah Negara Brunei Darussalam dengan berdasarkan kepada nilai-nilai Melayu falsafah Negara Melayu Islam Beraja.
Dengan lain perkataan sebenarnya setiap dasar dan polisi Negara di Negara Brunei Darussalam tidak boleh terpisah daripada penggunaan nilai-nilai Melayu Islam Beraja yang sudah lama diamalkan dan bukan merupakan sesuatu yang baru. Malahan ianya adalah merupakan tanggungjawab dan kewajipan setiap warga Baginda Sultan untuk mengamalkan dan menghayati nilai-nilai tersebut dalam semua bidang kehidupan tanpa persoalan. Ini memandangkan ianya sudah menjadi Dasar Negara yang memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi kehidupan bermasyarakat dan bernegara termasuk juga dalam proses penamaan geografi di Negara Brunei Darussalam yang menjadi warisan Bangsa Brunei dengan penggunaan Bahasa Melayu.
Berdasarkan kepada kewujudan nama-nama tempat, daerah, mukim, kampung, sungai, tasik, bukit, simpang, jalan-jalan raya yang terdapat di Negara Brunei Darussalam memang tidak dinafikan ianya adalah merupakan gambaran dan semangat identiti serta jatidiri Bangsa Brunei yang berteraskan kepada Melayu Islam Beraja melalui pemantapan penggunaan Bahasa Melayu. Bagi memperlihatkan kenyataan ini kita boleh merujuk dan melihat kerealitiasnya berdasarkan nama-nama geografi yang terdapat di keempat-empat daerah atau lokasi di Negara Brunei Darussalam dengan bercontohkan kepada beberapa nama mukim, kampung, jalan, bukit dan sungai yang telah dipengaruhi oleh sosio-budaya dan politik KeBruneian melalui penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959 dalam Bab 82 Ceraian 1 “Bahasa rasmi bagi Negara Brunei Darussalam adalah Bahasa Melayu”. (Pindaan Dokumen-Dokumen Perlembagaan, Negara Brunei Darussalam, 2004 dan 2008).
Kesimpulannya, Bahasa Institusi Beraja adalah merupakan nadi bagi pengukuhan dan pengembangan Bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam yang diwarisi dan amalkan sejak berkurun-kurun lama. Dan adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab kita sebagai Bangsa Brunei untuk terus memelihara dan mengukuhkan warisan kita bahkan memperkembangkannya ke peringkat serantau dan antarabangsa sebagaimana titah Baginda Sultan sempena Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (1961 – 2011) pada hari Sabtu, 19 Syawal 1432H/17 September 2011M bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.:
“Demikianlah, berdasarkan sejarah, tidak diragui lagi, Bahasa Melayu adalah ‘bahasa besar’, bahasa yang cukup syarat serta berpotensi untuk menjadi salah satu bahasa dunia. Mengapakah kita ketandusan usaha dan cita-cita ke arah itu?
Pada hemat beta, inilah ketikanya Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) memikir dan melakar gagasan, bagaimana untuk menaik taraf Bahasa Melayu menjadi bahasa dunia. Ini bukanlah angan-angan, tetapi keyakinan yang diasaskan kepada fakta dan disokong pula oleh pendapat para sarjana mengenainya.