Institut Confucius bantu pelbagaikan pilihan kerjaya

WINDHOEK – Penyertaan Institut Confucius di Universiti Namibia pada pameran kerjaya baru-baru ini mendedahkan minat golongan muda Namibia kepada Bahasa Cina dan peluang kerjaya.

Hamunyela, 26, seorang pelajar di ibu kota Windhoek, bukan sahaja mengetahui lebih lanjut tentang apa yang ditawarkan oleh Institut Confucius tetapi juga pelbagai peluang lain.

“Saya mendapat lebih banyak maklumat mengenai perkhidmatan Institut Confucius serta faedah seterusnya mempelajari Bahasa Cina seperti biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di China. Ia bermaklumat dan mengujakan,” katanya.

Seperti Hamunyela, ramai pelawat ingin mengetahui lebih lanjut tentang proses permohonan, keperluan untuk belajar di China, dan sama ada Bahasa Cina adalah prasyarat.

Sementara itu, ramai pelajar yang belajar Bahasa Cina di sekolah menengah menyatakan keinginan mereka untuk belajar Bahasa Cina di universiti.

Gambar fail bertarikh 20 Julai 2018 menunjukkan artis Namibia menyanyikan lagu Cina semasa ulang tahun kelima Institut Confucius di Universiti Namibia di Windhoek, ibu negara Namibia. – Xinhua
Gambar fail bertarik 23 Ogos 2013 menunjukkan koir dari Universiti Namibia membuat persembahan di majlis pelancaran rasmi Institut Confucius di Universiti Namibia. – Xinhua

Liu Dianbo, pengarah Institut Confucius, berkata institut itu memberi maklumat kepada pelawat, termasuk cara memilih kursus Bahasa Cina apabila mereka memasuki universiti, peruntukan kurikulum, dan menerangkan kepada pelajar tentang cara memohon program biasiswa kerajaan China.

“Menyertai pameran kerjaya boleh membolehkan lebih ramai pelajar sekolah menengah mengetahui lebih lanjut mengenai institut dan membolehkan mereka lebih banyak pilihan apabila memutuskan jenis bahasa yang mereka mahu belajar di universiti,” katanya.

Ji Qingfen, pensyarah institut itu, membantu pelajar dan pengunjung di pameran kerjaya itu. Ji melihat penyertaannya dalam pameran kerjaya sebagai bahagian penting dalam mempromosikan kerja institut dan memupuk hubungan antara orang Cina dan orang Namibia.

“Adalah menjadi tanggung-jawab kami untuk mengambil bahagian dalam urusan itu kerana kami adalah sebahagian daripada kakitangan Universiti Namibia dan ia juga merupakan peluang yang baik untuk kami memperkenalkan institut kami, untuk memberitahu pelajar kursus apa yang boleh kami sediakan.

Bagi saya, komunikasi dengan pelajar dan perasaan menawarkan bantuan adalah bahagian yang paling saya sukai,” katanya.

Sementara itu, pameran kerjaya itu telah memberi inspirasi kepada Hamunyela untuk be-kerja keras dan mempelajari bahasa Cina.

“Sekarang saya tahu peluang yang ada, saya berharap dapat memaksimumkan peluang itu, terutamanya menguasai Bahasa Cina untuk mempelbagaikan kemahiran dan peluang pekerjaan saya pada masa hadapan,” kata Hamunyela.

Pameran kerjaya diadakan oleh Universiti Namibia setiap tahun. – Xinhua