Institut penyelesaian pertikaian alternatif Asia dilancar

KUALA LUMPUR, 7 Mei –  Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) melancarkan Institut Penyelesaian Pertikaian Alternatif Asia (AiADR) bersempena sambutan ulang tahunnya ke-40.

AiADR merupakan pusat bukan mencari keuntungan pertama berasaskan anggota, bagi penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) yang khusus untuk menggalakkan amalan ADR melalui pendidikan yang boleh diakses, dan pembangunan profesion di seluruh Asia, Afrika dan negara-negara jiran.

“AiADR bermatlamat untuk menjadi platform bagi anggota dalam mengamalkan amalan antarabangsa, membina kapasiti, dan menyediakan peluang kepada semua pihak berkepentingan ekonomi dalam menyelesaikan pertikaian dan melihat projek dan pelaburan melalui tumpuan khusus terhadap ekonomi Asia dan Afrika yang baru muncul,” kata AIAC dalam satu kenyataan.

AiADR telah dilancarkan secara rasmi oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Perundingan Perundangan-Perundangan Asia-Afrika (AALCO), Prof Dr Kennedy Gastorn, pada majlis makan malam gala ulang tahun  AIAC ke-40, di luar program Minggu ADR Asia 2018 (AAW 2018), di sini, semalam.

AAW 2018 yang berlangsung selama tiga hari mulai 5 Mei, dianjurkan  oleh AIAC sebagai platform untuk mempromosikan Asia sebagai pasaran utama bagi perjanjian perdagangan kerana ia melibatkan pertumbuhan ekonomi Asia dan peluang yang sama dalam bidang seperti minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, undang-undang, perbankan, pembinaan, dan pengangkutan.

Persidangan tersebut meliputi promosi perniagaan dan pelaburan serantau serta bagaimana kerangka kerja ADR dirancang untuk melengkapi pengembangan yang diharapkan daripada industri komersial dengan jangkaan ledakan ekonomi. – Bernama