Tuesday, December 10, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Instrumen ais cipta muzik unik di Norway

    FINSE, Norway – Di dalam sebuah iglu gergasi di sebuah perkampungan bersalji di Norway, bunyi daripada alat seperti tanduk telah menghangatkan sedikit keadaan yang membeku dalam kalangan penonton yang hadir, yang mana pada masa itu adalah -24 Celcius.

    Tetapi bagi keempat-empat pemuzik ini mungkin merasa lebih sejuk kerana instrumen yang mereka mainkan itu kesemuanya dihasilkan daripada ais.

    Alat seperti xilofon, klaves dan lain-lain lagi telah diukir dengan teliti dari blok ais yang diambil melalui tasik sejuk membeku dan kini ia merupakan sebahagian daripada persembahan Festival Muzik Ais kali ke-13 di kampung pergunungan Finse.

    Masalahnya, semakin lama alat itu dimainkan, instrumen itu mulai cair.

    Ia bukanlah satu tugas yang mudah “untuk membuat persembahan dengan menggunakan instrumen yang mudah cair,” kata pemain genderang, Terje Isungset, juga pengasas festival tersebut.

    Para pengunjung yang menghadiri Festival Muzik Ais di pergunungan kampung Finse. – AFP
    Terje Lsungset (tengah) melakukan persembahannya dengan menggunakan peralatan muzik yang dibuat daripada ais semasa festival tersebut baru-baru ini di pergunungan kampung Finse di perbandaran Ulvik, selatan Norway. – AFP

    Memakai sarung tangan bulu tebal, dia menghembuskan udara hangat ke dalam alat ‘tanduk’ aisnya itu, dengan diterangi cahaya lampu berwarna biru dan firus.

    Di sebelahnya, seorang penyanyi bersuara merdu yang menutupi mulutnya dengan selendang untuk kekal hangat, sementara seorang pemain bass menanggalkan sarung tangannya agar dia dapat memetik tali pada instrumen buatannya.

    Festival tersebut, yang berada 195 kilometer dari barat Oslo, adalah bukan untuk mereka yang sensitif kepada iklim yang sejuk membeku.

    Diadakan di dalam iglu ais, berpuluh-puluh orang kelihatan memakai pakaian sesuai dengan cuaca pergunungan yang sejuk membeku, duduk di atas bangku salji sambil bersorak menyaksikan persembahan.

    Apabila malam menjelma, seorang anggota band kelihatan meniup instrumen ‘didgeridoo’ Australia, yang bergema di seluruh tempat itu.

    “Ia adalah persembahan di antara seni dan kegilaan,” kata Emile Holba, seorang jurugambar yang berpangkalan di UK, memberitahu AFP sambil tersenyum.

    “Kadang-kadang sesuatu yang tidak diinginkan boleh terjadi, instrumen boleh pecah… dan para penonton menyukai kejujuran dan keasliannya,” tambahnya.

    Festival berkenaan sebelum ini akan diadakan di Geilo, sebuah resort ski di rantau tengah Norway.

    Tetapi penganjur mengatakan bahawa cuacanya semakin beransur panas, menjadikan sukar untuk membina ruangan ais dan alat instrumen pula mudah mencair.

    Untuk mencari tempat yang dijamin sejuk membeku, festival ini telah dialihkan ke Finse, 30 minit perjalanan dari Geilo dengan menggunakan kereta api. Dikelilingi oleh pergunungan glasier, ia pernah dijadikan sebagai planet salji ‘Hoth’ dalam babak permulaan filem Star War ‘The Empire Strikes Back’. – AFP
    Terje Lsungset membentuk alat muzik yang diperbuat daripada ais. – AFP

    “Pada musim sejuk ini…..ais mudah cair, licin dan sukar untuk ditangani,” kata Isungset.

    “Ini kali pertama saya melihat ais seperti ini.”

    Untuk mencari tempat yang dijamin sejuk membeku, festival itu telah dialihkan ke Finse, 30 minit perjalanan dari Geilo dengan menggunakan kereta api.

    Dikelilingi oleh pergunungan glasier, kawasan itu pernah dijadikan sebagai planet salji ‘Hoth’ dalam adegan permulaan filem Star War ‘The Empire Strikes Back’.

    Perkampungan ini juga menjadi pangkalan latihan ekspedisi Antartika oleh penjelajah dari British iaitu Ernest Shackleton (1874-1922) dan rakan sejawatannya dari Norway, Fridtjof Nansen (1861-1930).

    “Ia seperti berada di dunia lain … terdapatnya magis di sana,” kata Holba.

    Mempersiapkan acara festival itu bukanlah satu tugas yang mudah. Pihak penganjur perlu membina iglu selama seminggu dan ais yang digunakan dan dikumpul memerlukan kru lebih daripada 20 orang.

    Potongan besar dikeluarkan dari tasik berdekatan dan pemuzik menggunakan gergaji, tukul dan alat pemahat untuk mengukir instrumen yang diinginkan dengan berhati-hati.

    “Ia hanya muzik … dan cuba untuk mencipta sesuatu yang unik,” kata Isungset.

    Selepas perayaan, beberapa instrumen tidak dapat digunakan lagi kerana aisnya mulai mencair. Namun beberapa ciptaan-ais ada yang masih kekal.

    Jika instrumen tersebut ingin kekal dalam bentuknya, ianya akan disimpan di dalam peti sejuk untuk digunakan semula pada tahun berikutnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda