Insurans Islam TAIB hargai pelanggan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Dalam memberi penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITH) telah menganjurkan Hari Penghargaan sempena ulang tahunnya yang ke-26, hari ini.

Hari Penghargaan IITH itu diadakan di Ibu Pejabat Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd (IITGT) dan Ibu Pejabat Insurans Islam TAIB Takaful Keluarga di Kiulap, Insurans Islam TAIB, Kuala Belait serta kaunter-kaunter TAIB di seluruh negara seperti Beribi, Airport Lama, Jalan Dewan Majlis, TAIB Tutong dan TAIB Airport Mall.

Pelanggan yang datang dan menggunakan perkhidmatan di ibu pejabat dan cawangan TAIB turut disajikan hidangan dari Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) dan Gong Cha serta aiskrim dari Cha TraMue.

Di samping itu, 26 pelanggan yang membuat transaksi di ibu pejabat IITH dan IITGT turut diberikan baucar makanan yang boleh ditebus secara langsung di trak makanan yang turut dijemput bagi memeriahkan acara berkenaan iaitu Londan Kebab (LK) dan Top Folk (TF).

Selain itu, 26 pelanggan yang menggunakan perkhidmatan di kaunter Takaful di seluruh negara juga berpeluang mendapatkan baucar minuman daripada Gong Cha.

Selain memberi penghargaan kepada pelanggan dengan menyajikan pelbagai hidangan, pelanggan yang mengenakan pakaian warna kelabu juga tidak terkecuali mendapatkan baucar diskaun makanan daripada TF manakala itu, LK memberi diskaun kepada semua pengunjung semasa Hari Penghargaan IITH itu.

Antara pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan semasa Hari Penghargaan IITH di Kiulap.
Salah sebuah trak makanan semasa Hari Penghargaan IITH. – Gambar oleh Rahwani Zahari