Pelakon filem Jangan Pandang Belakang, Intan Ladyana, 38, tidak akan merahsiakan berita perkahwinannya, sebaliknya berkongsi andai sudah tiba jodohnya.
Sebelum ini, desas-desus yang bertiup mendakwa, Intan dan kekasihnya yang juga pengacara muda, Harris Alif memilih tanggal Mac tahun depan untuk disatukan sebagai suami isteri.
Pantas menafikannya, Intan berkata, “Saya tak pernah pula heboh nak berkahwin tahun depan. Ini kali pertama saya dengar. Jika ada, saya akan beritahu. Saya takkan berahsia.
“Cuma, buat masa ini, saya kurang gemar berkongsi soal peribadi. Dari dahulu lagi, saya kurang suka bercerita secara terbuka mengenai kisah cinta kepada umum.
“Bukan apa, sekiranya perhubungan tidak menjadi, saya tak malu sangat. Jadi, diam lebih baik,” katanya ditemui pada majlis perlantikan sebagai duta produk AG Beauty Facemask dan Serum.

Intan berkata, dia kurang suka berkongsi foto bersama kekasihnya dalam laman sosial, tetapi tidak menghalang Harris berbuat demikian.
Mengulas detik pertemuan membawa kepada hubungan cinta, Intan berkata, dia sudah lama mengenali Harris, tetapi hubungan mula rapat sejak awal tahun ini. Bagaimanapun, hubungan sebagai kekasih pula terjalin sejak beberapa bulan lalu.
“Saya menyerahkan semuanya kepada jodoh. Saya bersyukur andainya Harris ditakdirkan jodoh saya. Setakat ini, saya tiada masalah walaupun jarak usia kami berbeza 17 tahun. Walaupun Harris jauh lebih muda, tetapi dia seorang yang matang daripada usia.
“Biarpun usia baru 21 tahun, tetapi perwatakan Harris tidak seperti remaja sebaya dengannya. Setakat ini, belum pernah berhadapan masalah komunikasi walaupun dia masih muda.
“Saya selesa dan serasi berkawan dengannya. Bagaimanapun, hubungan kami masih baru lagi. Jadi, saya sedang cuba mengenali hati budinya,” katanya.
Intan berkata, tidak salah menjalin hubungan dengan lelaki muda. Bukan mahu memberi galakkan kepada orang lain, tetapi apa yang penting, keserasian. Tak kiralah berapa jauh jarak usia pasangan. – Agensi