Integrasi ekonomi, teknologi dan inovasi jadi fokus APEC 2020

KUALA LUMPUR, 12 OGOS – Tiga bidang keutamaan iaitu integrasi ekonomi serantau, keterangkuman dan teknologi, inovasi serta kelestarian akan menjadi fokus utama Malaysia apabila ia menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 pada tahun depan, berikutan cabaran yang semakin meningkat dalam persekitaran ekonomi global.

Daripada perang perdagangan kepada dasar pelindungan serta kelembapan ekonomi dunia, APEC 2020 akan mengorak bahagian seterusnya dalam 10 tahun selepas matlamat Bogor berjaya mewujudkan keterbukaan serta kebebasan dalam perdagangan dan pelaburan.

APEC 2020 Malaysia dijangka akan menzahirkan salah satu inisiatif utama forum tersebut.

Sebagai tuan rumah, Malaysia berpeluang untuk menerajui kepimpinan dalam integrasi ekonomi serantau menerusi perdagangan dan pelaburan yang lebih bebas dan terbuka, memandangkan rantau ini sedang berhadapan dengan kelembapan, perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) – China dan krisis perdagangan yang melibatkan Korea Selatan serta Jepun.

Keempat-empat negara ini adalah kuasa ekonomi dalam APEC dan amat wajar supaya Putrajaya mempengaruhi 21 anggota APEC bagi meneruskan dasar keterbukaan yang akan memanfaatkan negara sedang membangun dan nega1ra perindustrian. – Bernama