Integrasi sistem, mekanisme sokong kecemasan kesihatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Tahun ini, dunia telah mengalami kecemasan kesihatan awam seperti COVID-19 yang mencetuskan impak global kepada negara-negara dan penduduknya.

Oleh itu, adalah amat penting untuk meningkatkan kerjasama serantau khususnya dalam bidang pengurusan bencana bagi menangani cabaran yang dihadapi pada masa ini dan yang akan datang.

Bagi Negara Brunei Darussalam, ia mengajar bagaimana pentingnya sistem dan mekanisme pengurusan bencana diintegrasikan untuk menyokong respons negara kepada kecemasan kesihatan awam yang menggambarkan penting bagi sektor pengurusan bencana terus menyesuaikan diri bagi meningkatkan respons dan kesediaan bagi bencana pelbagai bahaya dan berskala besar.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong (gambar bawah) dalam kenyataanya di Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-8 dan Conference of the Parties to the ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (COP to AADMER) secara maya, hari ini.

Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud; Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Awang Shahrin bin Haji Mohammad Jawie serta pegawai-pegawai kanan dari KHEDN dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.

Menteri-menteri dan wakil-wakil yang menghadiri sesi pelancaran 2nd Edition of ASEAN-ESCAP Joint Study on Drought: Ready for the Dry Years: Building Resilience to Drought in South East Asia.

Dalam kenyataannya lagi, beliau mengongsi mengenai peranan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dalam membantu menangani pandemik COVID-19 di mana Brunei mencatatkan kes jangkitan COVID-19 pertama pada 9 Mac lalu dan NDMC membantu Kementerian Kesihatan sebagai agensi sokongan dalam aspek bukan perubatan seperti membantu dalam penyediaan pusat-pusat pemantauan yang ditetapkan untuk kuarantin.

Sebagai sebuah agensi penyelaras, NDMC memastikan risiko virus berkenaan dapat dibendung menerusi sokongan dan koordinasi bantuan bukan perubatan untuk mengukuhkan lagi langkah-langkah persediaan serta tindakan oleh Kementerian Kesihatan.

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin juga berkongsi mengenai inisiatif Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (Community Based Disaster Risk Management, CBDRM) yang akan dianjurkan oleh NDMC secara berterusan. Yang Berhormat Pehin turut berkongsi mengenai inisiatif terkini Negara Brunei Darussalam menerusi NDMC ke arah membina keupayaan masyarakat dalam menghadapi bencana antara lainnya melalui Forum dan Bengkel Peranan Belia dalam Pengadaptasian Perubahan Iklim dan Pengurangan Risiko Bencana.

Forum dan bengkel itu bertujuan untuk membangun masyarakat berdaya tahan melalui peningkatan program kesedaran awam dan peningkatan kesiapsiagaan masyarakat terutama di kalangan para belia dalam pengadaptasian perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana di negara ini.

Yang Berhormat Pehin juga menjelaskan bahawa dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti berkenaan, NDMC berhasrat akan membantu Negara Brunei Darussalam membina masyarakat yang berdaya tahan dalam menghadapi bencana.

Mesyuarat AMMDM ke-8 dan COP to AADMER ke-9 yang dipengerusikan oleh Setiausaha Pertahanan Kebangsaan, Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Deflin N Lorenzana, dihadiri oleh menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana membawa tema, Advancing Transformation Towards a Safer, Adaptive, Inclusive and Resilient ASEAN and Realizing our Vision as the Global Leader in Disaster Management, membincangkan mengenai cara-cara untuk memperkukuhkan lagi tindak balas ASEAN secara bersama terhadap sebarang bencana serta menilai pelaksanaan AADMER ke arah merealisasikan hasrat untuk membangun masyarakat yang selamat dan berdaya tahan bencana.

Semasa mesyuarat itu, sesi pelancaran, 2nd Edition of ASEAN-ESCAP Joint Study on Drought: Ready for the Dry Years: Building Resilience to Drought in South East Asia, turut diadakan di mana pelancaran dokumen itu merupakan salah satu hasil kajian yang dikendalikan bersama oleh pihak ASEAN dengan kerjasama United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (ESCAP), bertujuan untuk menilai impak kejadian kemarau kepada sosioekonomi di rantau ASEAN.