Integrasikan kemahiran

OIeh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Laporan Suruhanjaya Global menyeru bagi tindakan tegas diambil dalam menangani masa hadapan di mana kemajuan teknologi dan penghijauan rangkaian bekalan dalam ekonomi akan menyaksikan ketidaksepadanan di antara kemahiran pada masa ini dengan pekerjaan yang diperlukan pada hari akan datang.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dalam kenyataan pleno semasa Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-108 di Geneva, Switzerland, kelmarin, turut berkongsi mengenai pembelajaran sepanjang hayat, upskilling dan reskilling sebagai teras dalam Wawasan Brunei 2035 serta perkembangan yang dicapai dalam usaha untuk meng-integrasikan pembangunan kemahiran ke dalam urus tadbir.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), di sini, hari ini, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa hari ini, pendidikan negara dan institusi latihan Brunei sedang bergiat aktif dengan perniagaan serta syarikat-syarikat untuk membangunkan kurikulum bagi memenuhi permintaan industri di masa akan datang. Pada masa yang sama, ulasnya lagi, negara juga sedang mengadaptasikan sukatan-sukatan menerusi Pusat Pembangunan Kapasiti untuk memastikan pencari-pencari kerja adalah boleh bekerja serta boleh dipasarkan. Beliau juga berkata bahawa negara sedang giat berusaha untuk menghubungkan pencari kerja dalam kalangan graduan dengan pasaran pekerjaan menerusi JobCentre Brunei dan Program Perantisan i-Ready.

Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa mereka memantapkan kelangsungan pekerjaan saksama dan mampan menerusi penglibatan penting di antara penggubal dasar dan sektor swasta untuk menjana strategi-strategi yang tegak, berazam dan merangkumi pelbagai aspek.

Terdahulu dalam kenyataannya, Yang Berhormat Pehin mengucapkan tahniah kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang meraikan ulang tahun ke-100 dan menggariskan kerja yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Global ILO bagi masa hadapan pekerjaan dan laporan mereka bagi ‘Work for a Brighter Future’.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa berucap.

Kenyataan KHEDN, menya-takan bahawa Yang Berhormat Pehin menghadiri persidangan yang berlangsung selama dua hari di Geneva, Switzerland, hingga hari ini. Turut hadir pada persidangan berkenaan sebagai sebahagian daripada Delegasi Negara Brunei Darussalam ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman; Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Geneva, Hajah Masurai binti Haji Masri; Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-undang) di KHEDN, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud; Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Awang Muhd Saufi bin Haji Ibrahim; ahli Majlis Perancangan Tenaga Manusia, Dayang Nurliyana Fatin Arifin dan pegawai-pegawai kanan kerajaan dari Misi Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva dan Jabatan Buruh.

Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa terdahulu sebelum menyampaikan kenyataan pleno, Yang Berhormat Pehin menghadiri Mesyuarat Sarapan Pagi Menteri-menteri Buruh ASEAN yang dihoskan oleh Menteri Buruh Thailand yang berlangsung di Hotel President Wilson di Geneva.

Persidangan ILC ke-108 diadakan dari 10 hingga 21 Jun di mana ia mengumpulkan kira-kira 6,000 delegasi yang mewakili pekerja, maji-kan dan kerajaan daripada 187 buah negara ahli dari seluruh dunia untuk bertukar-tukar pandangan dan menetapkan penyelesaian kepada cabaran-cabaran masa akan datang dalam dunia pekerjaan serta untuk meraikan ulang tahun ke-100 ILO.

Kenyataan menyatakan juga bahawa termasuk dalam agenda bagi sesi ke-108 ILC ialah penggunaan standard ILO baharu yang berhubung dengan keganasan dan gangguan di dunia pekerjaan serta juga Deklarasi Centenary ILO untuk memperingati ulang tahun organisasi berkenaan.

Persidangan itu dibukakan pada 10 Jun oleh Ketua Pengarah ILO, Guy Rider di mana dalam pembukaan persidangan itu, beliau menyatakan bahawa ketidaktentuan dan ketidakpastian pada masa ini, menggariskan pentingnya pencapaian dalam keadilan sosial kepada kestabilan serta keamanan dan bagaimana akses vital kepada pekerjaan yang baik adalah penting kepada perkembangan kesejahteraan manusia.

SAHAM
TerdahuluUTB lakar sejarah
SeterusnyaSalam Silaturahim Baiduri