Intel tunda pengeluaran cip komputer sehingga setahun

SAN RAMON, CALIFORNIA, 26 JULAI – Intel ketinggalan di belakang dalam perlumbaan untuk membangunkan cip komputer yang lebih laju dan lebih kuat, masalah berlarutan yang mungkin memaksa firma Silicon Valley itu mendapatkan bantuan daripada pengeluar lain tatkala ia berusaha bersaing dalam perlumbaan senjata teknologi.

Berita itu keluar apabila Intel mendedahkan timbulnya penangguhan selama enam bulan hingga satu tahun dalam pembangunan proses penghasilan cip generasi akan datang yang telah pun digunakan oleh pembekal Taiwan TSMC.

Masalah yang tidak dijangka itu bermakna teknologi pemprosesan 7-nanometer Intel tidak dapat siap sehingga akhir 2022 atau awal 2023, justeru menimbulkan kemungkinan pengeluar cip lain telah pun mendahului firma berkenaan.

Saham Intel merosot 16 peratus dalam perniagaan pada Jumaat tatkala pelabur menyelaraskan peralihan yang telah mengubah Intel daripada pendahulu kepada firma ketinggalan dalam bidang teknologi yang dikuasainya selama beberapa dekad.

Intel menerima satu lagi tamparan pada bulan lalu apabila Apple mengumumkan ia akan bergantung pada cip mereka sendiri untuk digunakan dalam komputer Mac dan bukannya cip Intel tidak lama lagi.

“Jelasnya, tahun ini adalah amat mencabar dalam pelbagai bidang, namun pada masa yang sama, kami menjangka 2020 menjadi tahun terbaik dalam sejarah syarikat kami,” kata Robert Sway, Ketua Pegawai Eksekutif Intel.

Walaupun beliau berkata syarikat ‘tidak berpuas hati’ dengan penangguhan dalam cip generasi akan datangnya, Sway berkata ia berusaha memberi jaminan kepada penganalisis semasa sidang akhbar baru-baru ini. – AP

Gambar fail menunjukkan simbol Intel muncul di skrin di Pasaran Nasdaq di New York. Intel mendedahkan pengeluaran cip generasi seterusnya akan ditunda enam bulan hingga setahun. – AP