Inter berdepan tugas sukar

ROME, 15 Mac – Pertikaian mengenai kontrak Mauro Icardi dengan Inter Milan tidak menunjukkan tanda-tanda semakin reda apabila kelab Itali itu tersingkir daripada Liga Europa tanpa khidmat pemain bintang itu kelmarin sebelum perlawanan tetangga menentang AC Milan di San Siro.

Kedua-dua pasukan bergelut untuk bersaing dalam bola sepak Liga Juara-Juara musim depan dengan skuad kendalian Gennaro Gattuso, AC Milan menghuni tangga ketiga liga, slot terakhir kelayakan Eropah dengan satu mata mengatasi Inter.

Gol lewat Icardi membantu Inter mencatat kemenangan 1-0 semasa aksi pada Oktober tahun lalu.

Tetapi pemain Argentina itu, tidak beraksi sejak 9 Februari susulan pertikaian mengenai kontrak yang menyebabkan dia dilucutkan daripada menjadi ketua pasukan.

Pemain berusia 26 tahun yang menjaringkan 15 gol untuk kelab itu musim ini, mengadu mengalami kecederaan lutut tetapi pihak kelab berkata, imbasan menunjukkan tidak ada kecederaan yang berlaku.

Spalletti memberi arahan kepada penyerang Inter semasa aksi Liga Europa semalam yang menyaksikan Inter tewas 1-0. – AFP

Dengan ketiadaannya, Inter telah mencatat dua kemenangan daripada empat perlawanan liga dan tersingkir daripada Liga Europa selepas tewas menerusi agregat 1-0 di tangan Eintracht Frankfurt.

Kelayakan Liga Juara-Juara merupakan matlamat utama Inter yang kini ketinggalan 25 mata di belakang Juventus.

“Kami tidak beraksi dengan baik di beberapa posisi,” menurut jurulatih Luciano Spalletti. “Kami perlu melakukan dengan lebih baik berbanding apa yang kami lakukan malam ini (menentang Milan),” tambahnya.

“Kami perlukan keyakinan. Kami merujuk perlawanan sebelum ini dan sedar bahawa kami tidak melakukannya dengan betul.”

Mereka berdepan kesukaran semasa menentang AC Milan yang mencatat lima kemenangan dan dibarisi dengan penyerang Poland, Krzysztof Piatek yang kini menjadi tonggak utama Milan.

Piatek telah meledak lapan gol dalam sembilan perlawanan sejak menyertai Milan daripada Genoa, Januari lalu tatkala skuad kendalian Gattuso dalam laluan menuju Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 2014. – AFP