Wednesday, December 18, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inter berpesta gol, belasah Lazio

    ROM, 17 DIS – Inter Milan mengejar rapat pendahulu Serie A, Atalanta selepas membelasah Lazio 6-0 di Rom semalam, sekali gus menewaskan salah satu pasukan yang berada dalam dalam prestasi terbaik liga dan menghantar mesej kepada pesaing lain.

    Juara bertahan, Inter berjaya melepasi ujian getir di Stadio Olimpico dengan cemerlang dan kini hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Scudetto dengan kelebihan satu perlawanan.

    Pasukan kendalian Simone Inzaghi itu memastikan kemenangan dengan gol yang masing-masing dicatat oleh Hakan Calhanoglu, Federico Dimarco, Nicolo Barella dan Denzel Dumfries, sebelum Carlos Augusto dan Marcus Thuram melengkapkan pesta gol dengan dua jaringan lewat perlawanan.

    “Sudah tiga setengah tahun pemain-pemain ini memberikan komitmen pada tahap ini, dan saya bangga menjadi pengurus mereka,” kata Inzaghi kepada DAZN.

    Inter dijadualkan beraksi dalam saingan Piala Itali menentang Udinese pada Khamis serta perlawanan liga bertemu Como dan Cagliari sebelum berlepas ke Arab Saudi, di mana mereka akan bertemu Atalanta dalam separuh akhir Piala Super Itali pada 2 Januari.

    Aksi Nicolo Barella menjaringkan gol ketiga Inter Milan dalam perlawanan bola sepak Serie A Itali menentang Lazio di Stadium Olimpik, Rom pada 16 Disember. – AFP

    “Ia akan menjadi rumit, tetapi saya berharap kami memberikan usaha dan tahap persembahan yang sama seperti malam ini,” tambah Inzaghi.

    Kekalahan besar yang tidak dijangka buat Lazio, yang sebelum ini meraih kemenangan bergaya di tempat lawan ke atas Napoli dan Ajax, meletakkan mereka di tangga
    kelima dengan enam mata di belakang Atalanta.

    Ia juga meranapkan sebarang harapan Lazio untuk muncul sebagai pasukan bukan pilihan yang mampu merangkul gelaran liga pertama dalam tempoh suku abad, apabila pasukan kendalian Marco Baroni itu mula tumbang selepas Calhanoglu menyempurnakan sepakan penalti untuk membuka jaringan pada minit ke-41.

    “Saya minta maaf kepada penyokong kami dan saya bertanggungjawab atas kekalahan ini. Kami bermain baik untuk 40 minit pertama tetapi kemudian tumbang, kami hilang arah,” kata jurulatih Lazio, Baroni.

    “Kami melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku ketika berdepan pasukan seperti Inter, dan ini bermakna saya tidak menjalankan tugas saya dengan baik.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda