Inter, Fiorentina seri tanpa jaringan

MILAN, 23 JULAI – Inter Milan terikat seri tanpa jaringan menentang Fiorentina pada perlawanan semalam, memberi peluang kepada Juventus yang hanya perlu satu kemenangan sahaja lagi lagi untuk merebut gelaran Serie A yang kesembilan berturut-turut.

Juve memiliki kelebihan enam mata di puncak liga di atas Atalanta yang berada di tempat kedua dan akan merangkul gelaran ke-36 mereka pada Khamis ini jika mereka meraih kemenangan di Udinese.

Pasukan Antonio Conte berada di tempat ketiga, satu mata di belakang Atalanta dengan hanya berbaki tiga perlawanan sahaja lagi, walaupun telah menguasai keseluruhan perlawanan semalam di Stadium San Siro namun mereka gagal menemukan jaringan.

“Tempat kedua adalah untuk yang kalah,” kata Conte, yang juga pernah menjadi pengurus Juventus dan memenangi tiga gelaran bersama mereka dan kemudian memenangi Liga Perdana Inggeris dan Piala FA bersama Chelsea.

“Saya faham bahawa ada pihak yang berpuas hati di tempat kedua ini, tetapi bagi saya itu belum cukup bermakna.

Reaksi Alexis Sanchez dari Inter Milan ketika melepaskan peluang untuk menjaringkan gol semasa perlawanan Serie A antara Inter Milan dan Fiorentina, di Stadium San Siro, Milan, Itali, semalam. – AP

“Apabila anda kehilangan mata, itu bermakna ada kekurangan.”

Tandukan Romelu Lukaku terkena tiang gol pada minit ke-18 dengan percubaan Alexis Sanchez gagal menembusi gawang lawan.

Penjaga gawang Fiorentina, Pietro Terracciano, telah berjaya menyelamatkan percubaan Nicolo Barella dan Lukaku dari jarak dekat.

Inter berjaya layak ke Liga Juara-Juara musim depan tetapi mereka boleh jatuh menduduki tempat keempat, apabila Lazio menang menentang Cagliari pada Khamis ini.

“Tahun ini kami memperoleh lebih sedikit daripada apa yang kami usahakan,” tambah Conte.

“Tetapi saya gembira kerana para pemain kecewa dengan keputusan ini, kerana itu bermakna kerja saya memberi impak.”

Conte mengambil alih Inter musim panas lalu, dengan harapan dapat membantu pasukan itu memenangi gelaran liga pertama mereka sejak 2010 semasa di bawah kendalian Jose Mourinho yang memenangi tiga trofi dalam satu musim. – AFP