Inter kecundang kali pertama musim ini

MILAN, 17 OKT – Juara bertahan, Inter Milan mengalami kekalahan pertama dalam Serie A musim ini apabila tewas 3-1 di tangan Lazio semalam manakala AC Milan bangkit selepas ketinggalan dua gol untuk menundukkan Verona sekali gus menerajui liga.

Inter berang selepas Felipe Anderson menjaringkan gol pada minit ke-81 untuk meletakkan tuan rumah 2-1 di Stadio Olimpico dengan pelawat marah apabila Lazio tidak menghentikan perlawanan selepas Federico Dimarco cedera.

Lima kad kuning dilayangkan selepas itu ketika protes daripada pemain Inter berlangsung beberapa minit manakala pemain pertahanan, Denzel Dumfries bernasib baik tidak dibuang padang.

Ia persembahan mengecewakan buat jurulatih Simone Inzaghi yang meninggalkan Lazio pada penghujung musim untuk menggantikan Antonio Conte di Inter.

Penggantinya di Lazio, Maurizio Sarri yang sering dikritik pada permulaan kempen bagaimanapun berjaya memungut tiga mata penuh dan membawa pasukannya ke tangga kelima.

“Kami melepaskan gol kedua yang pelik dan hilang pertimbangan,” kata Inzaghi kepada DAZN.

“Ia sepatutnya tidak terjadi, kerana pengadil boleh terus membenarkan perlawanan berlangsung dan ada 10 minit lebih untuk bermain, kami sepatutnya terus bermain.

“Gol ketiga itu paling buruk kerana kami tidak bertahan dengan baik, seperti tidak bermain. Kami hilang fokus dan masih ada masa untuk mencari gol kedua.”

Sementara itu, AC Milan merampas kedudukan pertama ketika Zlatan Ibrahimovic kembali daripada kecederaan dan dimasukkan daripada bangku simpanan ketika menang 3-2 mengatasi Verona. – AFP

Alsi pemain Inter Milan Skriniar (kiri) dan penyerang Lazio Ciro Immobile berebut mendapatkan bola semasa perlawanan Serie A Itali di antara Lazio dan Inter di stadium Olympic di Rom pada 16 Oktober. – AFP