Inter lonjak ke tempat kedua Serie A

ROM, 14 JULAI – Inter Milan kini selangkah ke hadapan untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim hadapan selepas berjaya kembali daripada ketinggalan untuk menewaskan pasukan Torino 3-1 dan meletakkan mereka di kedudukan kedua dalam Serie A.

Pasukan kendalian Antonio Conte kini berada di hadapan Atalanta dan Lazio untuk berada lapan mata di belakang pendahulu liga, Juventus hasil daripada jaringan awal minit pada separuh masa kedua oleh Ashley Young dan Diego Godin dan jaringan penyerang Lautaro Martinez sejurus sejam perlawanan.

Pasukan berpangkalan di Milan tersebut kini mempunyai mata yang sama dengan Lazio, yang tewas 2-1 ke atas Sassuolo pada Sabtu lalu, dan satu mata di hadapan pasukan keempat, Atalanta.

Walau bagaimanapun, dengan kejuaraan pertama sejak tahun 2010 dilihat hampir mustahil dicapai, statistik penting buat Inter ialah jurang 14 mata di antara mereka dan pasukan kelima, Roma dengan baki enam perlawanan.

Sementara itu Torino masih bergelut ketika ini berikutan kekalahan keempat mereka sejak liga disambung semula bulan lalu.

Pasukan bimbingan Moreno Longo yang menduduki tempat ke-16, berada lima mata dari zon penyingkiran dan mereka akan menerima kunjungan Genoa pada Khamis ini.

Inter, yang kehilangan kelibat bintang mereka, Romelu Lukaku dan Milan Skriniar, Cristian Eriksen dan Antonio Candreva, ketinggalan di belakang seawal minit ke-16 menerusi jaringan Andrea Belotti.

Walau bagaimanapun, Ashely Young berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-49. Gol kedua Inter dijaringkan oleh Diego Godin menerusi tandukan jarak dekat.

Torina mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan selepas tandukan Simone Verdi berjaya diselamatkan oleh Handanovic pada minit ke-54, tetapi tidak lama selepas itu Martinez berjaya menambah duka Torino, menjadikan keputusan perlawanan kekal 3-1. – AFP

Reaksi pemain pertahanan Inter Milan, Dieogo Godin ketika meraikan jaringan kedua Inter kelmarin. – AFP