Inter Miami Beckham hampiri MLS

MIAMI, 11 JULAI – Penyenaraian Inter Miami milik bekas bintang England, David Beckham ke Major League Soccer (MLS) menerima berita positif selepas mendapat kebenaran bagi memajukan tapak Fort Lauderdale sebagai pusat latihan dan stadium sementara kelab.

Pemilik pengurus Inter, Jorge Mas berkata bahawa suruhanjaya bandar telah memuktamadkan pelan binaan Inter Miami bagi tapak Stadium Lockhart seluas 64 ekar dengan undian 5-0 semalam.

Perkembangan itu mengekalkan Inter Miami dalam laluan bagi pelancaran kempen MLS pertama Mac tahun depan, bermain dua musim pertamanya di Fort Lauderdale sebelum berpindah ke kemudahan baharu di Miami.

“Kami berterima kasih atas kerjasama yang luar biasa dari bandar Fort Lauderdale dalam membantu kami melengkapkan persetujuan ini dan beralih ke peringkat seterusnya iaitu pembinaan,” kata Mas. Stadium Lockhart merupakan laman MLS Miami Fusion sejak 1998 sehingga dibubarkan selepas kempen 2001 dan Fort Lauderdale Strikers dari North American Soccer League bermula 1977-1983.

Selepas Inter Miami berpindah nanti, pasukan itu akan mengekalkan tapak itu sebagai kemudahan latihan kekal dan stadium berkapasiti 18,000 itu akan menghoskan beberapa perlawanan akademi belia.

Inter Miami akan membiayai sepenuhnya projek bernilai AS$60 juta itu dan bersetuju untuk beroperasi di kemudahan itu dalam perjanjian 50 tahun.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Jorge Mas dan David Beckham kerana membawa semua ini ke bandar kami dan teruja untuk bersama mereka di masa hadapan,” kata Datuk Bandar Fort Lauderdale, Dean Trantalis. – AFP