Inter Milan belasah Bologna

MILAN, 19 SEPT – Inter Milan bangkit daripada kekecewaan pertengahan minggu lalu di Liga Juara-Juara dengan membelasah Bologna 6-1 semalam sekali gus menyaksikan juara bertahan itu menduduki tangga teratas Serie A.

Skuad bimbingan Simone Inzaghi tewas menerusi gol pada minit-minit akhir perlawanan ketika bertemu Real Madrid pada saingan Liga Juara-Juara Rabu lepas namun tidak melakukan kesilapan sama kali ini di San Siro.

Inter kini mempunyai kelebihan satu mata dihadapan Roma, AC Milan, Napoli dan Fiorentina selepas Lautaro Martinez, Milan Skriniar, Nicolo Barella dan Matias Vecino masing-masing meledakkan satu gol manakala Edin Dzeko menambah dua gol.

Bologna menduduki tangga kelapan dengan tujuh mata selepas tewas kali pertama musim ini.

“Saya berasa bimbang mengenai perlawanan ini selepas pertemuan dengan Real, tetapi pemain berjaya mempamerkan aksi terbaik mereka,” kata Inzaghi kepada DAZN.

Denzel Dumfries memberi impak pada penampilan pertamanya dalam kesebelasan Inter sejak berhijrah dari PSV Eindhoven bulan lalu, menggantikan Achraf Hakimi yang berpindah ke Paris Saint-Germain, ketika Inter melancarkan serangan hebat di hadapan peminat mereka yang gembira di Milan.

“Saya sangat gembira. Saya rasa ia adalah perlawanan yang terbaik untuk kami selepas tewas kepada Real Madrid dan berjaya bangkit semula dan kami melakukan sangat baik sebagai satu pasukan” katanya Dumfries.

“Saya rasa sangat bagus, rakan sepasukan memberi saya sambutan baik dan banyak membantu saya, jadi saya gembira berada di sini.”

Pada perlawanan berasingan, Fiorentina meneruskan permulaan yang kuat untuk musim ini dengan kemenangan 2-1 di Genoa bagi memburu kedudukan teratas Serie A. Fiorentina seterusnya akan menjadi tuan rumah menentang Inter Selasa ini. – AFP

Aksi pemain pertahanan Bologna, Kevin Bonifazi semasa bertarung merebut bola dengan penyerang Inter, Edin Dzeko dalam perlawanan Serie A Itali di Stadium San Siro di Milan, semalam. – AFP