Inter pecahkan dominasi Juve di Serie A

MILAN, 3 MEI – Ribuan peminat membanjiri jalan-jalan raya di Milan kelmarin ketika Inter merangkul gelaran Serie A pertama dalam tempoh 11 tahun sekali gus menamatkan dominasi sembilan tahun seteru rapat mereka, Juventus.

Pasukan Antonio Conte meraih gelaran Scudetto ke-19 selepas Atalanta terikat seri 1-1 di Sassuolo untuk memberikan pasukan Nerazzurri kelebihan 13 mata di hadapan dengan berbaki empat perlawanan.

Conte yang memulakan rekod kecemerlangan Juve, memenangi tiga kejuaraan pertama yang berterusan sejak 2012 hingga 2020.

Pengendali berusia 51 tahun itu mengambil alih peranan sebagai ketua jurulatih di Inter pada 2019 dan menjulang trofi di hadapan seteru rapat mereka selepas menamatkan kedudukan di tangga kedua musim lalu.

“Kejayaan ini adalah pencapaian terbesar dalam karier saya,” kata Conte, yang juga pernah memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea pada 2017.

Peminat Inter Milan meraikan kejuaraan pasukan mereka di dataran Piazza Duomo selepas Atalanta terikat seri menentang Sussuolo.- AP

“Ia bukan pilihan mudah buat saya untuk datang ke Inter, pada waktu itu, pasukan ini belum merasai kemenangan. Mereka juga merupakan seteru rapat Juventus, bekas kelab yang saya bimbing.”

Inter kini dinobatkan sebagai pasukan kedua paling berjaya di Itali, satu kejayaan liga melebihi musuh tempatan, AC Milan dengan 18 kejuaraan, tetapi masih ketinggalan di belakang Juventus dengan 36 kejuaraan.

Pasukan berpangkalan di Lombardy tidak pernah memenangi kejuaraan sejak zaman kegemilangan memenangi treble Liga Juara-Juara, Serie A dan Coppa Italia bersama Jose Mourinho pada 2010.

Kali terakhir trofi yang dijulang adalah Coppa Italia pada 2011 dan mereka terlepas beraksi di Liga Juara-Juara selama enam musim sebelum Luciano Spalletti membawa mereka kembali bersaing di kejohanan utama Eropah pada 2018.

Conte adalah jurulatih ke-13 sejak Mourinho yang mengendalikan Nerazzurri dan kelab tersebut dua kali bertukar pemilik dalam tempoh sedekad.- AFP