Inter rampas kedudukan teratas Serie A

MILAN, 22 SEPT – Inter Milan melonjak ke kedudukan teratas Serie A kelmarin selepas bangkit dari ketinggalan satu gol untuk mencatatkan kemenangan 3-1 di Fiorentina dan mengesahkan hasrat mereka untuk mempertahankan kejuaraan liga.

Skuad kendalian Simone Inzaghi berjaya melakar kemenangan daripada perlawanan sengit menentang pasukan Fiorentina yang dilihat kembali bertenaga di Florence dengan membawa pulang tiga mata penuh hasil jaringan Matteo Darmain, Edin Dzeko dan Ivan Perisic pada separuh masa kedua, sekali gus mengubah kedudukan perlawanan selepas gol pembukaan jaringan Riccardo Sottil untuk pasukan tuan rumah.

Pasukan juara bertahan itu masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan pertama dan menghuni tangga teratas dengan mengumpul 13 mata, satu mata di hadapan Napoli yang bakal bermain menentang Sampdoria pada Khamis dan dalam misi mengekalkan rekod 100 peratus permulaan bagi kempen mereka.

AC Milan dan Atalanta yang ketinggalan dua mata di belakang, di mana Atalanta memenang ke atas Sassuolo 2-1 hasil jaringan daripada Robin Gosens dan Davide Zappacosta pada separuh masa pertama.

Fiorentina, yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain setelah Nicolas Gonzalez dibuang padang dengan perlawanan berbaki 11 minit berikutan menerima kad kuning kedua, menghuni tangga keenam dengan sembilan mata berkongsi kedudukan dengan Roma selepas mencatatkan kekalahan kedua pada musim ini. – AFP

Reaksi Edin Dzeko selepas menjaringkan gol semasa pertemuan di Florence, kelmarin. – AFP