Inter tempah slot separuh akhir Liga Europa

DUSSELDORF, 11 OGOS – Romelu Lukaku menjaringkan satu gol dan mencipta satu peluang gol ketika Inter Milan menewaskan Bayer Leverkusen 2-1 untuk mara ke pusingan separuh akhir Piala Europa kelmarin.

Lukaku merupakan tonggak utama bahagian serangan sejak awal permainan, tampak berbahaya dan mengucar-ngacirkan pertahanan Leverkusen untuk mengekalkan Inter memburu kejuaraan pertama dalam tempoh sembilan tahun. Kali terakhir Inter mara ke pusingan separuh akhir kejohanan Eropah adalah ketika saingan Liga Juara-Juara pada tahun 2010.

“Kami semakin meningkat tetapi kami perlu belajar untuk mendapatkan keputusan apabila kami mempunyai peluang, dan kami tidak melakukannya pada malam ini,” kata Lukaku.

“Sekarang kami mempunyai masa untuk kembali pulih secara fizikal dan bersedia untuk perlawanan seterusnya.”

Nicola Barella meletakkan Inter di hadapan pada minit ke-15 hasil daripada bola lantunan Lukaku selepas percubaannya dihalang. Enam minit kemudian, Lukaku meledak gol selepas bertukar-tukar hantaran dengan Ashley Young.

Walaupun Inter memberikan tekanan kepada Leverkusen, pasukan dari Jerman itu kekal bertahan dalam permainan. Kai Havertz membuat hantaran satu-dua dengan Kevin Volland dan menyepak masuk bola membolosi penjaga gol, Samir Handanovic untuk merapatkan kedudukan empat minit selepas jaringan dari Lukaku.

Tinjauan video telah menghalang Inter dari menjarakkan kedudukan selepas membuat rayuan untuk dihadiahkan sepakan penalti ditolak pengadil selepas bola terkena tangan pemain bek kiri Leverkusen, Daley Sinkgraven.

Leverkusen kemudian memberi tekanan untuk menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua tetapi ia memberikan ruang untuk Inter mencipta peluang dan penjaga gol Leverkusen, Lukas Hradecky terpaksa membuat beberapa aksi menyelamat beberapa kali.

Perlawanan tersebut mungkin akan menjadi perlawanan terakhir bagi Havertz untuk Leverkusen. Dia telah dikaitkan dengan perpindahan untuk menyertai Chelsea dan Leverkusen sebelum ini berkata mereka akan menangguhkan sebarang perpindahan semasa kempen Liga Europa. – AP

Reaksi Romelu Lukaku menjaringkan gol ketika menentang Bayern Leverkusen di Liga Europa. – AP