MILAN, 15 April – Inter Milan diikat dengan jaringan 0-0 oleh Atalanta, semalam sekali gus terlepas peluang untuk mendaki tangga ketiga Serie A di belakang AS Roma dan Lazio serta tiket ke saingan Liga Juara-juara musim depan.
Kedudukan Juventus dan Napoli di tangga dua teratas liga sudah tampak sukar dicabar menyaksikan tiga pasukan merebut baki tempat di antara Inter, Roma dan Lazio dengan ketiga-tiganya mengumpul 60 mata.
Begitupun, Roma dan Lazio yang di jadual bertembung sesama sendiri kurang satu perlawanan tatkala Inter yang sudah mengharungi tiga aksi tanpa kemenangan kekal di tangga kelima.
“Kami tidak berdepan masalah,” kata jurulatih Inter, Luciano Spalletti dengan penjaring terbanyak kelab itu, Mauro Icardi sekali lagi buntu selepas mengharungi tiga perlawanan Serie A tanpa menjaringkan gol.
“Kamu hanya melihat (Mauro) Icardi dan (Ivan) Perisic tidak menjaringkan gol tetapi kami mencipta peluang dan bermain dengan cara yang betul sehingga penghujung perlawanan di atas gelanggang yang sukar.”

Atalanta mendominasi separuh masa perlawanan dengan Papu Gomez hampir meletakkan pelawat di depan tetapi rembatannya tersasar jauh pada minit kelima.
Penjaga gol Inter, Samir Handanovic juga menyelamatkan tandukan daripada pemain berusia 19 tahun, Musa Barrow yang membuat penampilan sulung di pentas Serie A ketika cubaan Perisic dinafikan penjaga gol Atalanta, Etrit Berisha selepas setengah jam perlawanan berlangsung.
Inter tambah mengancam pada babak kedua dengan gandingan Icardi dan Perisic hampir memecah kebuntuan tetapi cubaan mereka diselamatkan dengan tampanan Hans Hateboer.
Keputusan seri menyaksikan Atalanta mendaki ke tangga kelapan liga tetapi ketinggalan tiga mata daripada tiket ke Liga Europa.
“Secara keseluruhan saya fikir ia mata yang adil, sekali pun kedua-dua kelab tidak gembira dengan keputusan,” kata pengurus Atalanta, Gian Piero Gasperini.
Selain itu, Torino juga mengalami kemunduran dalam usaha mereka untuk mara untuk piala Eropah musim depan dengan seri tanpa gol menentang Chievo untuk mengakhiri kemenangan berturut-turut tiga perlawanan mereka. – AFP