BAITULMAQDIS, 1 NOV – Rangkaian Internet dan telefon di seluruh Semenanjung Gaza gagal digunakan hari ini, kata agensi telekomunikasi Palestin, dalam kejadian kedua di wilayah yang dikepung itu dalam masa kurang seminggu.
“Kepada rakyat di negara tercinta, kami dengan berat hati mengumumkan perkhidmatan Internet dan komunikasi lumpuh sepenuhnya di Gaza,” kata Syarikat Telekomunikasi Palestin (Paltel) di aplikasi X.
Badan pemantau rangkaian global, Netblocks mengesahkan Gaza ‘berada di tengah-tengah penutupan Internet baharu dengan impak tinggi kepada pengendali utama, Paltel.
“Gangguan keseluruhan liputan telekomunikasi akan menjejaskan kebanyakan penduduk,” katanya dalam catatan di X.
Sementara itu, seorang wartawan AFP di Gaza mengesahkan liputan komunikasi terputus, sambil menyatakan telefonnya masih mempunyai isyarat kerana dia menggunakan kad SIM antarabangsa.
Seorang lagi wartawan AFP berkata, hanya mereka yang mempunyai talian telefon Israel atau Mesir boleh menggunakan telefon bimbit masing-masing di bandar sempadan Rafah. – AFP
