Intracorp sokong usaha Kementerian Kesihatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Situasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam adalah terkawal dan tidak ada kes jangkitan baharu yang dicatatkan bagi tempoh lebih sebulan di mana semua itu adalah atas tindakan yang pantas dan usaha Kementerian Kesihatan serta petugas barisan hadapan yang telah mendapat penghargaan dan pujian daripada semua.

Selaras dengan seruan pihak kerajaan untuk mengamalkan kebersihan diri dan penjarakan sosial serta sama-sama memainkan peranan menangani penularan wabak COVID-19, Intracorp (B) Sdn Bhd telah melancarkan Kempen #StayHomeStaySafe bermula 19 April lalu.

Di samping itu, Intracorp dengan kerjasama rakan-rakan kongsi jenama tidak ketinggalan untuk menghulurkan sumbangan barangan keperluan kepada Kementerian Kesihatan sebagai tanda penghargaan dan berharap ia akan memberikan bantuan kepada usaha menangani COVID-19.

Menurut Intracorp, sebagai sebahagian daripada Kempen #StayHomeStaySafe, ia juga melaksanakan langkah-langkah kebersihan dan penjarakan sosial yang ketat di peringkat cawangan mereka serta menggalakkan pelanggannya untuk membuat pembelian mereka menerusi dalam talian Intracorp bagi memenuhi keperluan barangan elektronik dan perabot mereka.

Sebahagian daripada kempen itu juga, Intracorp turut melancarkan Kempen PHILIPS We Deliver Care #philipsdeliver di Brunei.

Kempen itu adalah selaras dengan Kempen #StayHomeStaySafe di mana pelbagai produk Philips ditawarkan pada diskaun yang menarik dan pada masa yang sama, Intracorp bekerjasama dengan E-Hub Store untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran percuma bagi semua produk Philips yang dibeli menerusi laman sesawang.

Ia membolehkan para pelanggan mereka untuk membuat pembelian produk Philips secara dalam talian dari rumah mereka tanpa sebarang kerisauan serta menikmati perkhidmatan penghantaran pantas ke rumah mereka.

Dalam hubungan itu, Intracorp menyatakan penghargaan kepada semua pelanggan atas sokongan bagi Kempen #StayHomeStaySafe dan menyeru semua orang untuk terus patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan supaya mereka sama-sama dapat membantu dalam usaha menentang penularan COVID-19.

Sumbangan yang diterima oleh Kementerian Kesihatan daripada Intracorp (B) Sdn Bhd melalui Kempen #StayHomeStaySafe. – Gambar serahan Intracorp