Inul masih ingat pesanan ibu mertua

Pemergian ibu mertua pada 1 Disember lalu benar-benar meninggalkan kesan cukup mendalam buat penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Inul Daratista.

Meskipun berbeza pegangan agama, Inul berkata ibu mertuanya, mendiang Yuliani memiliki toleransi agama yang tinggi.

Menurut laporan Celebrity Okezone, Inul Yuliani sering mengingatkannya untuk patuh dengan ajaran agama dan tidak meninggalkan ibadah.

“Sekadar cerita kecil mengenai ibu mertua, meskipun kita dalam keluarga yang berbeza keyakinan tetapi mertua selalu pesan.

“Apa pun agama mu jangan pernah meninggalkan ibadah. Apa pun keyakinan mu, takutlah dengan tuhan. Kami memiliki toleransi agama yang sangat kuat.

“Semua perbezaan ini menjadi indah jika kita punya hati yang baik. Terima kasih yang mengirimkan bunga dan doa untuk saya dan keluarga.

“I love you Mama, tenang dan semoga bertemu papa di syurga,” katanya.

Yuliani menghembuskan nafas terakhir pada 1 Disember lalu akibat sakit tua. Inul berkahwin dengan Adam Susano, seorang mualaf pada 1995 dan dikurniakan seorang anak lelaki Yusuf Ivander Damares berumur 12. – Agensi

Gambar Inul bersama suami dan anak tunggal mereka. Inul masih ingat pesanan mendiang ibu mertuanya tentang agama. – Agensi