DAVOS, Switzerland, 20 Jan – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Kumpulan Alibaba (NYSE: BABA) hari ini bersama-sama mengumumkan satu perkongsian jangka panjang sehingga tahun 2028.
Menyertai program penajaan Rakan Olimpik (TOP) di seluruh dunia, Alibaba akan menjadi “Perkhidmatan Awan” rasmi dan Rakan “Perkhidmatan Platform E-Dagang” serta Rakan Pengasas bagi Saluran Olimpik.
Perkongsian itu telah diumumkan hari ini pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, bersama-sama Presiden IOC Thomas Bach, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba Jack Ma dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alibaba Daniel Zhang.
Thomas Bach, Presiden IOC, berkata: “Dalam dunia digital baharu ini, Alibaba berada pada kedudukan yang unik untuk membantu IOC mencapai pelbagai objektif utama yang digariskan dalam Agenda Olimpik 2020, dan pada masa yang sama secara positif membentuk masa hadapan Pergerakan Olimpik.
“Ini adalah satu gabungan perintis yang berinovatif, dan akan membantu memacukan kecekapan di dalam penganjuran Sukan Olimpik sehingga tahun 2028, di samping menyokong pembangunan peluang-peluang digital di peringkat global termasuk Saluran Olimpik.”

“Perkongsian Alibaba dengan IOC dibina di atas asas nilai-nilai bersama dan satu visi yang sama untuk menghubungkan dunia dan memperkayakan kehidupan rakyat,” kata Jack Ma, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba.
“Kami amat berbangga untuk menyokong Agenda Olimpik 2020, dengan menggunakan inovasi dan teknologi kami bagi membantu mengembangkan Sukan Olimpik untuk era digital.”
Melalui kerjasama ini, sumbangan Alibaba kepada Pergerakan Olimpik akan merangkumi apa yang terbaik dalam kelasnya bagi infrastruktur pengkomputeran awan dan perkhidmatan awan untuk membantu Sukan Olimpik beroperasi dengan lebih cekap, berkesan dan selamat, termasuk menyokong keperluan analisis data besar.
Perkongsian ini juga mewujudkan satu platform e-dagang global bagi pemegang kepentingan Olimpik untuk melibatkan diri dan berhubungan dengan peminat yang mencari produk berlesen Olimpik rasmi yang dikeluarkan oleh pemegang lesen rasmi pihak Olimpik dan produk-produk sukan terpilih di peringkat dunia.
Di samping itu, ia juga memanfaatkan teknologi media digital terkemuka Alibaba dan pengetahuan untuk membangun dan menyesuaikan Saluran Olimpik bagi penonton China.
“Alibaba amat berbangga untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dalam transformasi digital yang mengubah permainan, dan pada masa yang sama menggerakkan langkah yang semakin hampir ke arah matlamat kami untuk berkhidmat kepada dua bilion pengguna,” kata Daniel Zhang, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alibaba. – Bernama