IOC enggan batalkan sekatan Kuwait

LAUSANNE, 2 Jan – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah menolak satu rayuan oleh kerajaan Kuwait bagi membatalkan sekatan sukan selama 14 bulan buat sementara, ketika Negara Teluk itu memperbetulkan undang-undang kontroversi.

Badan-badan sukan dunia yang diketuai oleh IOC dan badan induk bola sepak FIFA telah menggantungkan Kuwait pada bulan Oktober 2015 buat kali kedua sejak 2010 kerana kerajaan didakwa membuat campur tangan dalam sukan-sukan.

Autoriti sukan awam Kuwait telah mengeluarkan permintaan bertulis pada 23 Disember kepada IOC dan FIFA bagi menggesa mereka untuk membatalkan sekatan ke atas aktiviti-aktiviti sukan Kuwait buat sementara waktu sehingga beberapa undang-undang setempat diperbetulkan’.

Tetapi sepucuk surat yang ditujukan kepada kerajaan Kuwait baru-baru ini telah menyatakan IOC ‘tidak akan membuat sebarang pertimbangan semula mengenai situasi itu’ sehingga negara tersebut mematuhi beberapa langkah yang bersesuaian sepenuhnya dengan Piagam Olimpik.

Autoriti sukan awam Kuwait telah berkata bahawa ia berusaha tanpa henti bagi membatalkan sekatan dan berkata parlimen akan menubuhkan satu panel bagi menghasilkan pembetulan kepada beberapa undang-undang tertentu.

Tetapi usaha mereka gagal meyakinkan IOC.

IOC juga menggesa autoriti tersebut segera menubuhkan semula Jawatankuasa Olimpik Kuwait dan menyingkirkan mana-mana badan atau pegawai yang telah dilantik pihak berkuasa Kuwait yang tidak diiktiraf oleh IOC.

Keputusan IOC itu mungkin memberikan impak kepada pendaftaran akhir FIFA bagi membolehkan Kuwait bersaing dalam Piala Asia 2019 pada 11 Januari. – AFP