IOC, penganjur Olimpik Tokyo setuju mudahkan acara

TOKYO, 11 JUN – Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 bersetuju dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk “mempermudah” acara yang akan dilangsungkan pada temasya sukan itu, atas faktor keselamatan dan mengurangkan kesan kewangan.

Bercakap pada sidang media pada Khamis Presiden jawatankuasa penganjur Olimpik Tokyo, Yoshiro Mori dan Ketua Pegawai Eksekutif Toshiro Muto berkata, IOC dan penganjur telah mengenal pasti 200 acara yang terbabit, namun, tidak memberikan butiran lanjut.

Muto berkata cabaran utama ialah mengenai tindakan pencegahan untuk memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat dikekang, lapor agensi berita Kyodo.

Penganjur akan mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah orang yang terlibat dalam setiap acara, selain atlet dan penonton, mungkin termasuk pegawai IOC dan wakil badan sukan kebangsaan.

CEO juga mengesahkan acara larian obor Olimpik adalah antara yang akan dikaji. Larian obor akan berlangsung antara Mac dan Julai depan.

Kerajaan Jepun pada minggu lalu dilaporkan berkata pengurangan jumlah penonton dan acara upacara pembukaan serta penutupan antara yang sedang dipertimbangkan. – Bernama