Tuesday, August 16, 2022
27.1 C
Brunei

IONITY rancang luaskan tapak pengecasan

-

Oleh Syahmi Hassan

STUTTGART, 30 NOV – IONITY merancang menjalinkan usahasama untuk meningkatkan rangkaian stesen pengecasan berprestasi tinggi yang terbesar di Eropah, yang mana ia boleh diakses oleh kebanyakan kenderaan elektrik.

Menjelang tahun 2025, bilangan tapak pengecasan dijangka meningkat daripada 400 kepada lebih 1,000. Ini akan menghasilkan kira-kira 7,000 titik pengecasan, lebih empat kali ganda daripada masa sekarang iaitu sebanyak 1,500.

Rangkaian IONITY menggunakan Combined Charging System (CCS) standard pengecasan Eropah. Teknologi 800 volt di stesen pengecas bermakna rangkaian itu boleh digunakan untuk mengecas Porsche Taycan pada potensi penuhnya sehingga 270 kW. Dengan menggunakan Perkhidmatan Pengecasan Porsche, pemandu Taycan juga mendapat manfaat daripada harga standard dan diskaun yang ketara di stesen pengecas pantas IONITY yang pada masa ini 0.33 euro setiap kilowatt jam.

“Kami melihat peningkatan yang jelas dalam elektromobiliti dan infrastruktur pengecasan berprestasi tinggi yang berkaitan. Di Porsche, 50 peratus daripada kereta yang dihantar ke seluruh dunia menjelang 2025 dijangka sebahagiannya atau sepenuhnya elektrik dan lebih daripada 80 peratus menjelang hujung dekad.

“Dengan melabur dalam usaha sama IONITY, kami menghantar isyarat penting kepada pelanggan yang meningkatkan keselesaan dan kemudahan perjalanan dalam kenderaan elektrik dengan lebih jauh lagi,” kata Pengerusi Lembaga Eksekutif di Porsche AG, Oliver Blume.

IONITY rancang tingkatkan stesen pengecasan di Eropah.- Gambar serahan QAF Eurokars

Pemegang saham IONITY termasuk BMW Group, Mercedes-Benz AG, Ford Motor Company, Hyundai Motors dengan KIA, Volkswagen Group dengan Audi dan Porsche, dan tidak lama lagi syarikat pelaburan BlackRock.

Titik pengecasan IONITY akan dibina bukan sahaja di lebuh raya Eropah, tetapi juga berhampiran bandar utama dan di sepanjang jalan utama yang sibuk. Lokasi masa depan ini akan dibina dengan enam hingga 12 titik pengecasan. Tambahan lagi, tapak sedia ada di sepanjang laluan dengan permintaan pengecasan yang tinggi akan dinaik taraf dengan titik pengecasan tambahan.

Sebagai sebahagian daripada konsep perdana Oasis, IONITY menyasarkan untuk meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan dengan ketara. Untuk berbuat demikian, syarikat tersebut berhasrat untuk memperoleh lebih banyak tanah bagi menubuhkan taman pengecasan dengan perkhidmatan katering mereka sendiri dan kedai bersambung.

Perkhidmatan Pengecasan Porsche memberikan pemandu akses kepada titik pengecasan di seluruh dunia yang dimiliki oleh pelbagai pembekal, termasuk IONITY. Pada masa ini, hampir 200,000 titik pengecasan disambungkan di Eropah, merentasi 20 negara.

Antaranya ialah sekitar 6,500 titik pengecasan dengan kapasiti pengecasan lebih daripada 50 kW DC. Pengeluaran bil (central billing) dilakukan melalui Porsche. Sebagai tambahan kepada rangkaian usaha sama IONITY, Porsche merancang untuk menubuhkan stesen pengecasan pantasnya sendiri di sepanjang laluan pengangkutan terpenting di Eropah.

Dengan Pengecasan Destinasi Porsche, pelanggan boleh mengecas model Porscheplug in hibrid dan elektrik mereka secara percuma di lokasi paling popular.

Program itu kini menyediakan lebih daripada 2,700 titik pengecasan AC di lebih 70 buah negara, termasuk di hotel, restoran, lapangan terbang, pusat membeli-belah, kelab sukan dan marina terpilih. Pengembangan rangkaian selanjutnya sedang giat dijalankan.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Iran nafi terbabit serangan Salman Rushdie

TEHRAN, 15 OGOS – Pegawai kerajaan Iran hari ini menafikan Tehran terbabit dalam serangan yang mencederakan penulis kontroversi, Salman Rushdie di Amerika Syarikat (AS)...

China lancar latihan baharu

- Advertisment -