IP Malaysia turun 0.2 peratus pada Nov 2019

KUALA LUMPUR, 24 JAN – Perubahan bulanan Indeks Pelopor (IP), iaitu indeks yang meramalkan pergerakan arah ekonomi negara, turun 0.2 peratus kepada 120.1 mata pada November 2019 daripada 120.3 mata pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

IP adalah bertujuan untuk memantau prestasi ekonomi bagi purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata komponen utama yang memacu IP ialah Import Benar Logam Asas Berharga & logam Bukan Ferus Lain dan Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan, masing-masing menyumbang negatif 0.4 peratus.

“Walaupun terdapat sedikit penurunan peratusan bulan ke bulan, kadar pertumbuhan IP (terlicin) kekal di atas trend untuk menunjukkan momentum ekonomi yang lebih baik pada lima bulan pertama 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan prestasi ekonomi semasa, meningkat 0.3 peratus pada November 2019 terutamanya didorong oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.3 peratus), katanya. – Bernama