Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    IPC, kolaborasi semua bawa kejayaan respons COVID

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Bahiyah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Pandemik COVID-19 telah membawakan kesan ketara kepada sistem dan petugas kesihatan, ekonomi dan populasi secara menyeluruh di negara ini.

    Ia memberikan dua pengajaran besar iaitu nilai sebenar langkah-langkah Pencegahan dan Pengawalan Jangkitan (IPC) sebagai tonggak perlindungan aspek pengurusan, dan kolaborasi semua yang menyumbang kepada kejayaan respons COVID.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa berucap pada majlis perasmian Minggu Pencegahan Jangkitan Antarabangsa (IIPW) 2022: 50 Tahun Pencegahan Jangkitan di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, kelmarin.

    Menurut Yang Berhormat Dato, pengalaman diraih oleh semua, sama ada luar dan dalam bidang penjagaan kesihatan, masyarakat dan pemimpin, menunjukkan kepentingan universal amalan IPC oleh setiap orang dalam mengekang pandemik COVID ini.

    Bagi warga penjagaan kesihatan, ia memerlukan lebih tumpuan jitu dalam usaha berterusan oleh pengamal IPC dalam pengurusan penjagaan kesihatan berkaitan dengan jangkitan (HAI) dan respons menyeluruh Antimicrobial Resistance (AMR) daripada peringkat sistem sehinggalah ke peringkat global, jelasnya.

    Yang Berhormat Dato semasa menyampaikan sijil kepada salah seorang tetamu jemputan.
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa berucap pada majlis itu.

    Yang Berhormat Dato turut menyentuh bahawa IPC dari segi sejarah telah menjadi bahagian penting dalam pendekatan holistik terhadap penjagaan kesihatan di Negara Brunei Darussalam.

    Di peringkat nasional, kita semakin berkembang dalam membangunkan kapasiti untuk meningkatkan IPC dan inisiatif berkaitan termasuk pembentukan Jawatankuasa Rintangan Antimikrob atau AMR Negara Brunei Darussalam pada 2018.

    “Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan pihak berkepentingan lain dalam hal berkaitan AMR, termasuk IPC khususnya, sejak sebelum wabak COVID-19, dan secara berterusan.

    “Perlu diberi perhatian bahawa JPMC sendiri telah membangunkan program kawalan jangkitan yang mantap, protokol pengawasan, keupayaan ujian diagnostik dan peningkatan kualiti.

    “Dengan kapasiti ini, dan bimbingan strategik daripada Kementerian Kesihatan, kami berharap kita terus meningkatkan kesiapsiagaan bagi lonjakan dalam HAI dan penyakit berjangkit yang baharu muncul seperti COVID-19,” ujar Yang Berhormat Dato.

    Ketika menyentuh mengenai Sambutan IIPW yang bertujuan untuk menyerlahkan profesion pencegahan jangkitan sejajar dengan Sambutan 50 Tahun IIPW, Yang Berhormat Dato menjelaskan ia mencerminkan kemajuan bersama, mempertimbangkan cabaran dan merancang bersama langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan.

    Yang Berhormat Dato menekankan kepentingan perkongsian kolaboratif merentas sektor dalam memerangi AMR dengan tumpuan besar kepada penggunaan ubat antimikrobial yang sesuai.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menyeru semua jabatan dan disiplin bekerjasama dalam membangunkan sistem pemantauan dan protokol yang berkesan dalam IPC.

    Majlis juga diselajurkan dengan pembentangan simposium dan bengkel daripada golongan pakar jemputan antarabangsa terdiri daripada Pengarah Pencegahan Jangkitan, di Singapore General Hospital, Dr Ling Moi Lin; dan Pengarah Perubatan, Consultant Infectionus Disease Physician di Mount Elizabeth Novena Specialist Centre, Singapore, Dr Leong Hoe Nam.

    Lebih 150 ahli profesional penjagaan kesihatan hadir semasa majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...