iPhone kesan imej penderaan seksual kanak-kanak

SAN FRANCISCO, 6 OGOS – Apple berkata semalam iPhone dan iPad tidak lama lagi akan mula mengesan imej yang mengandungi unsur penderaan seksual kanak-kanak dalam kalangan pengguna peranti itu.

Pengesanan boleh dibuat ketika pengguna memuat naik atau muat turun imej berkenaan secara dalam talian iCloud Apple.

Perkara itu disahkan Apple semalam, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong hak kerahsiaan peribadi yang khuatir akses itu mungkin disalahgunakan oleh pihak tertentu.

Apple, menerusi paparan dalam talian, berkata pihaknya mahu lindungi kanak-kanak daripada pemangsa menggunakan alat komunikasi untuk mengeksploitasi mereka, sekali gus mengekang penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Menurut syarikat itu, teknologi terbaharu akan membenarkan peranti Apple memadankan gambar tidak sepatutnya di telefon pengguna dengan pangkalan data gambar CSAM disediakan pertubuhan keselamatan kanak-kanak.

Namun, beberapa pertubuhan hak digital berkata perubahan sistem operasi Apple itu dikhuatiri menjadi ‘pintu belakang’ untuk gajet yang boleh disalahgunakan oleh kerajaan atau kumpulan lain.

Apple bagaimanapun menangkis dakwaan itu dengan menyatakan pihaknya tidak mempunyai akses terus terhadap imej berkenaan, selain menegaskan langkah itu diambil untuk melindungi keselamatan dan kerahsiaan.

Syarikat teknologi gergasi berpusat di Silicon Valley itu menyatakan pemadanan foto akan dilakukan oleh teknologi kriptografi untuk menentukan sama ada imej terbabit mengandungi unsur penderaan seksual kanak-kanak. – AFP

Seorang lelaki mengambil gambar dengan iPhone 11 di dalam kedai Apple di Fifth Avenue di Bandar New York. Apple berkata iPhone dan iPad akan mula mengesan imej yang mengandungi unsur penderaan seksual kanak-kanak dalam kalangan pengguna peranti itu. – AFP