iPhone XS, XS Max, XR dilancarkan

CUPERTINO, Amerika Syarikat, 13 Sept – Apple melancarkan tiga iPhone baharu semalam dalam usaha untuk memperkukuh kedudukannya dalam pasaran telefon pintar premium, di samping jam tangan pintar yang mencatat elektrokardiogram dan mengesan kejatuhan.

Syarikat gergasi teknologi di California itu berkata ia akan mula menjual iPhone XS 5.8 inci dan iPhone XS Max 6.5 inci pada akhir bulan ini, mengekalkan harga permulaan model syarikat itu pada AS$999 tetapi mengurangkan harga awal untuk versi dengan skrin yang lebih besar.

Apple juga mengumumkan iPhone XR baru pada harga permulaan AS$749, boleh diperoleh pada Oktober, dengan paparan 6.1 inci untuk menambah jumlah pembeli.

Telefon berkenaan adalah peningkatan kepada iPhone X pada tahun lalu, yang menandakan ulang tahun ke-10 telefon pintar itu, menambah skrin sementara mengekal saiz handset keseluruhan dengan model sebelumnya.

“Saya fikir Apple amat laris di sini,” kata penganalisis GlobalData, Avi Greengart selepas memeriksa produk baharu pada pelancaran di ibu pejabat syarikat di Cupertino, California.

Apple iPhone XS Max (kanan) dan iPhone XS dipamerkan semasa majlis pelancaran telefon pintar tersebut di Cupertino, California pada 12 September 2018. – AFP

“Pada keseluruhannya, ia akan menjadi tahun yang amat baik untuk Apple.”

Penganalisis menjangka tawaran produk akan menerima sambutan hangat, menaikkan harga purata penjualan telefon pintar Apple.

iPhone baru mempunyai pemproses dan kamera yang lebih baik, dan ciri-ciri kad dwi SIM untuk peranti yang lebih mahal. Butang asal diganti dengan sentuhan skrin dan pengecaman wajah.

“Kami akan membawa iPhone X kepada peringkat seterusnya,” kata ketua eksekutif Tim Cook.

Sementara iPhone telah menjadikan Apple syarikat paling berharga di dunia, bernilai lebih daripada AS$1 trilion, ia telah merosot kepada kedudukan ketiga di kalangan pengeluar telefon pintar memandangkan Huawei dari China telah merebut tempat kedua di belakang Samsung.

Penganalisis daripada Moor Insights & Strategy, Patrick Moorhead berkata Apple telah melakukan secukupnya ‘untuk meneruskan pertumbuhan telefon pintarnya sehingga persaingan meningkat’.

Apple berkata model XS akan dijual dari 21 September dan XR dari 26 Oktober ini. – AFP