IPP 2018 M’sia meningkat 3.1 peratus

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) bagi 2018 meningkat 3.1 peratus berbanding 2017, kata Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

DOSM dalam satu kenyataan hari ini berkata peningkatan itu disokong oleh pertumbuhan sektor pembuatan (4.8 peratus) dan sektor elektrik (3.7 peratus). Sektor perlombongan bagaimanapun merosot 1.9 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pada Disember 2018 IPP meningkat 3.4 peratus berbanding bulan yang sama pada 2017, didorong oleh kenaikan dalam indeks pembuatan, yang meningkat 4.4 peratus, indeks elektrik (2.7 peratus) dan indeks perlombongan (1.0 peratus).

Beliau berkata subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan pada Disember ialah produk peralatan elektrik dan elektronik (7.2 peratus), produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (7.0 peratus), dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.6 peratus ). – Bernama